WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Peruntukan RM60,000 Adun Pembangkang P. Pinang Kekal Bagi Tahun 2025

25/11/2024 12:25 PM

GEORGE TOWN, 25 Nov (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang memperuntukkan RM60,000 kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang bagi tahun 2024, dan jumlah itu akan dikekalkan tahun 2025, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Chow berkata kerajaan negeri tidak berhasrat untuk menambah peruntukan kepada ADUN pembangkang, kerana telah melantik Pegawai Penyelaras KADUN (PPK) di kawasan berkenaan. 

“Bagi tahun 2024, kerajaan negeri telah memperuntukkan RM500,000 kepada ADUN kerajaan, dan masing-masing RM60,000 (ADUN pembangkang) serta RM100,000 (PPK). 

“Di samping itu, segala peruntukan demi manfaat penduduk, tidak kira di kawasan ADUN kerajaan mahupun ADUN pembangkang telah diselaraskan secara bersepadu oleh jabatan, agensi serta anak syarikat kerajaan negeri, yang antara lain diterjemahkan kepada projek dan program di bawah Jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri atau pelaksanaan projek program secara langsung oleh kerajaan negeri,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini hari ini. 

Chow menjawab soalan Zulkefli Bakar (PN-Penanti) yang bertanya berkenaan peruntukan diterima ADUN pembangkang. 

Chow turut menekankan bahawa sebagai wakil rakyat, semua ADUN boleh mengetengahkan masalah atau permintaan penduduk di kawasan mereka kepada jabatan dan agensi kerajaan negeri yang sentiasa bersedia membantu rakyat dengan mengamalkan dasar “no wrong door policy”.

Sementara itu, dalam soalan tambahannya, Zulkefli mengenai sama ada kerajaan negeri akan mempertimbangkan untuk meningkatkan elaun semua ADUN agar mereka boleh berkhidmat kepada rakyat di kawasan sendiri dengan tambahan peruntukan berkenaan.

Chow berkata sememangnya elaun ADUN kali terakhir diselaraskan 10 tahun lepas, dan sepatutnya diselaraskan setiap 10 hingga 15 tahun.

“Namun, elaun wakil rakyat di peringkat Parlimen juga tiada penyelarasan sejak 10 tahun lepas. Sekiranya kerajaan Persekutuan melakukan kajian tentang keperluan penyelarasan ini, kerajaan negeri juga akan melakukan kajian berkenaan,” katanya. 

-- BERNAMA 


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan