WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Banjir: Johor Sedia Alternatif Pastikan Calon Terus Duduki SPM

02/12/2024 02:00 PM

JOHOR BAHRU, 2 Dis (Bernama) -- Kerajaan negeri telah menyediakan beberapa perancangan alternatif bagi memastikan 43,175 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) termasuk yang terjejas banjir dapat terus menduduki peperiksaan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Aznan Tamin berkata ini termasuk 16 calon SPM di Johor yang terjejas akibat bencana itu setakat ini, dengan kesemua mereka merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Buloh Kasap, Segamat.

“Sembilan daripada mereka ditempatkan di SMK Buloh Kasap, manakala selebihnya menetap sementara di rumah saudara mereka. Kita tidak mahu ada calon terpaksa menangguhkan peperiksaan mereka, sebaliknya mahu ia berjalan serentak.

“Bagaimanapun bagi pelaksanaan ujian lisan SPM kita boleh mengatur waktu giliran mereka untuk mengambil peperiksaan, jadi tiada masalah ketika ini, proses SPM berjalan lancar," katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan ujian lisan SPM di SMK Tasek Utara di sini hari ini, yang turut dihadiri pengetua sekolah itu Mislina Salleh.

Sementara itu, Aznan berkata Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) telah mengenal pasti sebanyak 669 sekolah yang digazetkan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) banjir di negeri itu.

“Kita berharap ia akan melibatkan sekolah rendah terlebih dahulu bagi memberi laluan kepada calon SPM di sekolah menengah fokus kepada peperiksaan. Jika terdapat keperluan PPS dibuka di sekolah menengah, kita akan atur pindahkan calon ke sekolah lain mengikut kesesuaian,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menasihati golongan ibu bapa untuk memantau anak-anak mereka yang berusia bawah 18 tahun, untuk tidak menonton filem yang menormalisasikan gejala buli di sekolah.

“Kita bukanlah tidak menyokong industri perfileman negara, tetapi apabila ia melibatkan buli dan sebagainya, memang tidak digalakkan. Saya berharap pihak kementerian, pihak pawagam dan ibu bapa dapat memantau perkara itu,” katanya.

Beliau turut memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian buli yang berlaku di sekolah-sekolah seluruh Johor setakat ini.

Setakat 12 tengah hari ini, Johor merekodkan seramai 840 mangsa banjir, ditempatkan di 17 PPS yang dibuka di sekitar Segamat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan