WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KERAJAAN PERKENAL SEMULA ZON KHAS JUAL BARANGAN TANPA SUBSIDI DI KAWASAN SEMPADAN

14/12/2024 08:09 PM

KUCHING, 14 Dis (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan memperkenalkan semula zon khas untuk penjualan barangan kawalan tanpa subsidi di kawasan sempadan bagi menangani isu ketirisan barangan berkenaan. 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata langkah itu bertujuan mengurangkan penyeludupan barangan bersubsidi ke negara jiran.

“Zon khas ini membolehkan rakyat di kawasan sempadan, seperti Indonesia dan Thailand, membeli barangan kawalan tanpa subsidi. Contohnya, minyak masak botol dan gula premium akan dijual di kedai-kedai khas. 

“Hal ini akan mengelakkan keperluan penyeludupan kerana mereka mempunyai akses sah untuk membeli barangan ini,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Penguatkuasaan Menangani Isu Ketirisan Barang Kawalan di sini hari ini.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan turut dihadiri wakil-wakil agensi penguatkuasaan peringkat Persekutuan dan negeri.

Armizan berkata projek zon khas itu pernah dirintis di Pulau Sebatik, Sabah sebelum ini, tetapi menghadapi cabaran apabila rakyat tempatan menyeludup bekalan dari luar kawasan untuk dijual secara tidak sah dalam kawasan berdekatan sempadan. 

“Kali ini, kita akan perketat penguatkuasaan, termasuk menggunakan data isi rumah dan kad pembelian yang membolehkan kita memantau jumlah barangan yang dibeli oleh setiap isi rumah,” katanya.

Beliau berkata pengenalan semula zon khas itu antara beberapa keputusan yang dibuat dalam mesyuarat penyelarasan berkenaan.

Keputusan lain termasuk pemerkasaan penyelarasan tugas menerusi Sekretariat OPS Tiris sehingga pelaksanaan penuh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA) Februari tahun depan, memperkemas mekanisme penguatkuasaan melalui penurunan kuasa KPDN kepada agensi di pintu masuk, serta pemantauan berkala di stesen minyak dan tindakan lebih tegas terhadap penyelewengan.

Selepas mesyuarat itu, Fadillah dan Armizan turut menyaksikan majlis menandatangani Aku Janji KITA GEMPUR melibatkan ikrar 11 syarikat minyak yang beroperasi di negara ini untuk membantu kerajaan memerangi ketirisan dan manipulasi barang kawalan khususnya diesel dan petrol.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan