WILAYAH - SARAWAK > BERITA

'ROLL CALL' LEBIH KERAP DI ALK UPNM - KHALED NORDIN

08/12/2024 02:04 PM

KOTA TINGGI, 8 Dis (Bernama) -- Langkah keselamatan bagi kadet di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) akan ditingkatkan, termasuk melakukan panggilan nama atau 'roll call' secara lebih kerap, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata langkah itu bagi mencegah insiden penderaan dan buli dalam kalangan kadet susulan beberapa siri kes buli yang berlaku di institusi pengajian tinggi berkenaan.

"Di akademi ini mereka bergaul antara pelajar tahun satu, dua, tiga, empat, dan di sinilah insiden-insiden itu biasanya berlaku, selama tiga hingga empat tahun mereka bersama dan mereka tahu siapa senior dan junior.

"Jadi kita akan kerap buat roll call, pasang lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) dan sebagainya. Kalau berlaku apa-apa insiden seperti gaduh, maka selalulah ada roll call mungkin 10 malam atau 2 pagi, jadi di situlah kita akan tahu, dan ia bergantung kepada keadaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Pemindahan Ilmu Lestari, Pengukuhan Ekonomi dan Pemerkasaan Ilmu Penduduk di Felda Bukit Aping di Dewan Serbaguna Felda Bukit Aping Timur di sini hari ini, sebagai mengulas langkah atau peraturan terbaharu yang akan diperkenalkan bagi menangani kes buli di UPNM.

Sementara itu Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata pihak kementerian tidak akan bertolak ansur dengan sebarang insiden buli di UPNM, dan tindakan sewajarnya akan diambil mengikut peraturan yang ditetapkan.

"Kita sebenarnya ada peraturan, mereka yang melindungi atau menutup apa-apa insiden yang dianggap buli atau penderaan, ia dianggap sebagai satu kesalahan.

"Yang penting adalah kita ingin sedarkan bahawa kita tidak akan berkompromi dari segi apa-apa perlakuan buli dan penderaan, dan kita akan mengambil tindakan tegas serta menghebahkan hukuman yang diberi. Jadi ini antara tindakan yang kita akan buat," katanya.

Pada 27 Nov lepas, Mohamed Khaled dilaporkan berkata lima pegawai kadet ALK UPNM yang terlibat dalam tiga kes buli diambil tindakan oleh kementerian itu, antaranya pembatalan pelantikan sebagai pegawai kadet, pemberhentian perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dan bayaran ganti rugi kepada kerajaan.

Sebelum ini beberapa siri insiden buli dilaporkan berlaku di UPNM, termasuk kes tragis membabitkan kematian seorang kadet dengan kesan kecederaan 90 tekapan seterika wap dikesan di seluruh anggota badan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan