WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KAMPUNG BARU PASAK, KOTA TINGGI TERIMA RM2.55 JUTA PROJEK KAMPUNG ANGKAT MADANI MINDEF

15/12/2024 04:46 PM

KOTA TINGGI, 15 Dis (Bernama) -- Kampung Baru Pasak menerima manfaat berjumlah RM2.55 juta menerusi projek Kampung Angkat MADANI Kementerian Pertahanan (MINDEF).

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata peruntukan itu merupakan RM2.5 juta daripada Kementerian Kewangan manakala tambahan dana RM50,000 daripada MINDEF.

"Usaha ini adalah satu manifestasi Kerajaan MADANI yang telah menyalurkan peruntukan nasional sebanyak RM100 juta semasa Belanjawan 2024 dengan pecahan setiap kampung angkat menerima peruntukan maksimum RM2.5 juta.

"Tambahan dana RM50,000.00 daripada MINDEF kepada Kampung Baharu Pasak melibatkan projek penanaman cendawan dan peruntukan ini adalah bagi memastikan capaian liputan kemudahan asas air, elektrik, jalan, lampu jalan, kemudahan masyarakat dan capaian internet dapat dipertingkat di kawasan desa," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata pemilihan Kampung Baru Pasak sebagai Kampung Angkat MADANI - MINDEF adalah berdasarkan kemudahan asas di kampung itu yang masih di bawah 50 peratus. 

Menurutnya, keseluruhan projek berkenaan telah dilaksanakan oleh kontraktor tempatan dengan keutamaan diberikan kepada kontraktor Bumiputera bagi menyokong ekonomi setempat. 

"Antara agensi yang terlibat dalam perlaksanaan projek ini ialah MINDEF, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM, Pejabat Daerah Kota Tinggi (PDKT) serta Jabatan Kerja Raya (JKR) Kota Tinggi.

"Sebanyak 152 buah keluarga, merangkumi anggaran 600 orang isi rumah di Kampung Baru Pasak menerima manfaat daripada program Kampung Angkat MADANI Kementerian Pertahanan (MINDEF) ini," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan