WILAYAH - TIMUR > BERITA

PGA Tumpaskan Kegiatan Seludup Haiwan Bernilai Lebih RM500,000

11/01/2025 07:11 PM

KOTA BHARU, 11 Jan (Bernama) --Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan pelbagai jenis haiwan iaitu lembu, kerbau dan kambing dengan anggaran nilai rampasan berjumlah RM506,000 di Masjid Mukim Bakong, Pasir Mas, Khamis lepas.

Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata tangkapan dan rampasan itu dilakukan oleh sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Briged Tenggara PGA selepas menahan dua buah lori dalam keadaan mencurigakan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan, sekitar pukul 3.30 pagi.

“Hasil pemeriksaan mendapati lapan ekor lembu dengan anggaran berat melebihi 5,200 kilogram (kg), empat ekor kerbau dengan anggaran berat lebih 3,200kg, dan 40 ekor kambing dengan anggaran berat lebih 4,000 kg ditemui di dalam lori jenis Isuzu tanpa permit sah,” katanya dalam kenyataanhari ini.

Beliau turut memaklumkan dua lelaki berusia 28 dan 30 tahun ditahan kerana dipercayai bertindak sebagai penghantar bagi menyeludup haiwan tersebut ke pasaran tempatan.

Kesemua suspek dan barang rampasan telah dibawa ke Komtak Taman Bakti untuk tindakan lanjut dan kes ini sedang disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan