WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JKR Sarawak Perlu Ambil Pendekatan Rancang Perbelanjaan Berdasarkan Hasil - Uggah

16/01/2025 12:05 AM

KUCHING, 15 Jan (Bernama) -- Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas mahu Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak mengamalkan pendekatan perancangan perbelanjaan berdasarkan hasil dalam melaksanakan semua projek pembangunan di negeri ini.

Uggah yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Sarawak berkata pendekatan itu penting supaya projek yang dilaksanakan mencapai piawaian ditetapkan dan dijangka dilaksanakan mulai tahun hadapan.

"Marilah kita bekerjasama menyemak dan memuktamadkan perancangan perbelanjaan kita, serta membuat persediaan untuk melaksanakannya berdasarkan hasil yang dijangkakan, yang saya harap dapat dilaksanakan bermula pada 2026.

"Pendekatan perancangan perbelanjaan yang berfokuskan hasil ini tidak akan terikat kepada pencapaian lepas, sebaliknya menumpukan kepada unjuran masa depan dan keupayaan kita. Sebagai contoh, sekiranya JKR menyatakan bahawa 10,000 kilometer jalan boleh dibina pada 2022, kita akan selaraskan untuk pelaksanaan itu,” katanya ketika berucap pada majlis Makan Malam Perhimpunan JKR Sarawak di sini malam ini.

Uggah berkata mulai tahun ini, beliau mahu JKR Sarawak mula membuat penilaian seperti menentukan berapa kilometer jalan yang boleh dibina secara realistik berdasarkan sumber dan kapasiti.

"Penilaian ini akan membantu kita merancang langkah seterusnya dan memanfaatkan kekuatan kita dengan lebih berkesan. Saya percaya ini permulaan baharu dan penuh cabaran untuk kita, dengan strategi dan komitmen yang jelas, kita mampu mengharungi cabaran ini dan bergerak maju bersama-sama,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan