KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Lembaga Tabung Haji (TH) menawarkan peluang mendapatkan perlindungan takaful berganda hingga RM48,000 kepada pendeposit melalui pendaftaran dua sijil perlindungan TH Khairat dengan setiap pengendali takaful yang dilantik.
Sebelum ini, pendeposit TH hanya boleh mendaftar satu sijil perlindungan dengan setiap pengendali takaful, iaitu Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd (STMKB) dan Hong Leong MSIG Takaful (HLMT).
"Bermula pada 21 Feb 2025, pendeposit boleh mendaftar dua sijil perlindungan dengan setiap pengendali takaful, membolehkan seorang pendeposit memiliki hingga empat sijil perlindungan," menurut TH dalam kenyataan hari ini.
TH memaklumkan bayaran langganan kekal pada RM28 setahun bagi setiap sijil didaftarkan dengan manfaat perlindungan RM12,000 jika berlaku kematian atau hilang upaya kekal dan menyeluruh.
Penerima manfaat layak membuat tuntutan hingga RM48,000 sekiranya pendeposit memiliki empat sijil perlindungan.
Selain itu, bermula pada tahun ini, jemaah haji yang memiliki sijil TH Khairat akan dilindungi dua kali ganda berbanding jumlah manfaat asal, iaitu daripada RM12,000 kepada RM24,000 sekiranya berlaku kematian ketika menunaikan haji tanpa sebarang bayaran tambahan.
Pengarah Eksekutif Operasi TH Mohamed Ameen Abdul Wahab menerusi kenyataan sama berkata inisiatif itu selaras dengan komitmen TH untuk sentiasa meningkatkan mutu perkhidmatan dan memberi nilai tambah kepada pendeposit secara berterusan.
“Bagi pendeposit yang meninggal dunia ketika menunaikan haji pula, tuntutan hingga RM96,000 layak dibuat sekiranya mempunyai keseluruhan empat sijil perlindungan,” katanya.
Mohamed Ameen berkata sejak dilancarkan pada Julai 2023, TH Khairat mencatatkan hampir 580,000 pendaftaran dan membantu 375 waris melalui pembayaran tuntutan berjumlah lebih RM4.5 juta.
Pendaftaran boleh dilakukan melalui aplikasi THiJARI dan maklumat lanjut boleh diperoleh di cawangan TH terdekat, menerusi www.tabunghaji.gov.my atau menghubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) 03-6207 1919.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial