WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Penjawat Awam Perak Terima Bonus Raya RM1,500

05/03/2025 11:09 PM

IPOH, 5 Mac (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) sempena sambutan Aidilfitri sebanyak RM1,500 kepada semua penjawat awam di negeri itu, disalurkan pada 24 Mac ini.

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pemberian BKK itu turut melibatkan Orang Besar Jajahan (OBJ), guru lantikan negeri, pekerja sambilan harian dan pekerja kontrak.

Beliau berkata pemberian itu membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM10 juta selain akan memanfaatkan 13,582 penerima.

“Tahun lepas kita berikan RM1,000, namun alhamdullillah dengan nikmat dan rezeki yang diberikan oleh Allah S.W.T pada tahun ini, kita dapat tingkatkan jumlah pemberian tersebut.

“Saya juga ingin ucapkan terima kasih kepada ketua-ketua jabatan dan penjawat awam yang banyak membantu dalam meningkatkan pendapatan kerajaan negeri,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Menteri Besar Bersama Penjawat Awam di Laman Seri Ridzuan di sini malam ini.

Terdahulu, kira-kira 1,000 penjawat awam hadir pada majlis berbuka puasa itu. 

Pada tahun lepas, kerajaan negeri menyalurkan bantuan raya sebanyak RM1,000 kepada penjawat awam negeri membabitkan implikasi kewangan RM8.8 juta yang memanfaatkan 8,804 penerima.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan