KUALA LUMPUR, 9 Jun (Bernama) -- Sebanyak 14,000 individu termasuk golongan asnaf menerima agihan daging korban sumbangan Istana Negara, sempena sambutan Aidiladha tahun ini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Wira Zailani Hashim berkata Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, sebelum ini berkenan mengurniakan 100 ekor lembu bagi agihan daging korban tersebut.
Selain asnaf, beliau berkata daging korban itu diagihkan kepada warga Istana Negara, golongan B40 di jabatan dan agensi kerajaan, rumah anak yatim, sekolah tahfiz, pusat Pemulihan Dalam komuniti (PDK) dan sekolah serta institusi di bawah seliaan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan (JKMWP).
“Jumlah keseluruhan penerima manfaat agihan daging yang telah dan akan diagihkan ialah lebih kurang 14,000 penerima,” katanya kepada pemberita di Surau Al Jannah, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pinggiran Bukit Jalil, hari ini.
Di surau berkenaan, sebanyak empat ekor lembu dikorbankan untuk diagih kepada 225 asnaf sekitar kawasan tersebut.
Sementara itu, Zailani dalam ucapannya berkata kurniaan itu membuktikan bahawa rakyat sangat dekat di hati Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, khususnya golongan yang memerlukan.
“Sumbangan ini bukan sekadar berupa daging korban, tetapi ia membawa bersamanya nilai kasih sayang dan keprihatinan yang amat tinggi nilainya,” katanya.
Beliau berkata inisiatif itu boleh dijadikan contoh oleh semua pihak, baik pada peringkat kerajaan, swasta mahupun individu agar budaya memberi dan berkongsi rezeki terus dipupuk dan diperluas.
“Dalam dunia yang kian mencabar hari ini, nilai kebersamaan, tolong-menolong dan empati adalah lebih penting. Semangat korban ini harus diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan keprihatinan yang berterusan, bukan hanya ketika musim perayaan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Surau Al Jannah Ismail Zainuddin, menzahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada pihak Istana Negara atas sumbangan daging korban itu.
“Ini kali pertama kami mendapat agihan daging korban daripada Istana Negara. Alhamdulillah sumbangan ini dapat membantu golongan asnaf di sekitar kawasan ini,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa komuniti di PPR berkenaan terdiri daripada lima blok perumahan dan sambutan daripada penduduk amat menggalakkan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial