WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia Perkukuh Peranan Dalam Usaha Pemulihan, Bina Semula Gaza - PM

11/07/2025 07:19 PM

Oleh Thivyamalini Ramalu

PUTRAJAYA, 11 Julai (Bernama) -- Malaysia terus memperkukuh peranan bagi membantu rakyat Palestin khususnya dalam pemulihan dan pembinaan semula Gaza, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata beliau juga menyambut baik kesediaan Jepun dan Palestin untuk bersama Malaysia menjadi Pengerusi Bersama Mesyuarat Peringkat Menteri Persidangan Kerjasama Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin Keempat (CEAPAD IV), yakni satu platform kerjasama serantau penting yang akan dirumus menerusi Pelan Tindakan Kuala Lumpur tidak lama lagi.

“Tumpuan kita jelas, iaitu respons kemanusiaan yang menyeluruh, pemulihan awal, pembangunan ekonomi serta pembinaan keupayaan.

“Kita juga tekad menyelaras usaha bersama pelan pembinaan semula Gaza anjuran Mesir yang telah pun mendapat dukungan Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC),” menurutnya dalam kenyataan yang dikeluarkan kepada Bernama dan RTM.

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menerima kunjungan hormat daripada Menteri Perancangan dan Kerjasama Antarabangsa Palestin Dr Estephan Salameh serta wakil Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) Natalie Boucly di pejabat beliau di sini pada Jumaat.

Selain isu Palestin, Perdana Menteri berkata perbincangan mengenai peranan UNRWA dalam misi antarabangsa  turut dibangkitkan.

“Tindakan barbarik rejim Israel yang mengharamkan UNRWA merupakan serangan terbuka terhadap badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan harus dikecam sekeras-kerasnya,” kata beliau.

UNRWA ditubuhkan pada 1949 sebagai talian hayat kritikal untuk pelarian Palestin dan kini menyokong hampir 5.9 juta orang di Gaza, Tebing Barat, Jordan, Syria dan Lubnan.

Sementara itu, CEAPAD merupakan platform serantau yang diterajui Jepun sejak 2013, menghimpunkan beberapa negara Asia Timur bagi menyokong usaha pembinaan negara Palestin dengan memanfaatkan sumber, pengetahuan dan pengalaman pembangunan ekonomi negara anggotanya.

Negara anggota CEAPAD ketika ini terdiri daripada Jepun, Palestin, Malaysia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Singapura, Korea Selatan, Thailand dan Vietnam.

Sementara itu, Anwar berkata Malaysia turut menzahirkan komitmen dalam memperkukuh hubungan dengan Kesatuan Eropah (EU) yang merupakan rakan dagang keempat terbesar negara dengan nilai dagangan mencecah USD47.93 bilion pada 2024.

Perkara itu dizahirkan ketika pertemuan Perdana Menteri bersama Wakil Tinggi Hal Ehwal Luar Negeri dan Dasar Keselamatan EU merangkap Naib Presiden Suruhanjaya Eropah Kaja Kallas pada Jumaat.

“Saya mengalu-alukan pelaburan EU dalam teknologi baharu, tenaga, aspek digital dan pendigitalan serta iklim, selain mendukung rundingan segera bagi Perjanjian Perdagangan Bebas MY-EU dan Perjanjian Rangka Kerja dengan Bank Pelaburan Eropah. 

“Kami turut menyentuh soal serantau termasuk isu melibatkan Ukraine, Palestin dan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) di Myanmar,” katanya.

5PC menggesa pemberhentian segera keganasan, mengadakan dialog antara semua pihak, pelantikan utusan khas, membenarkan bantuan kemanusiaan oleh ASEAN dan membenarkan utusan khas ASEAN melawat Myanmar untuk bertemu semua pihak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan