KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) -- Beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah melangkah ke pentas akhir Kejohanan Badminton Terbuka Jepun 2025 selepas menewaskan pasangan tuan rumah Nami Matsuyama-Chiharu Shida pada aksi separuh hari ini.
Pada aksi berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo, beregu ranking ketiga dunia itu mendominasi permainan dengan memenangi set pertama 21-13 ke atas ranking kedua dunia berkenaan sebelum mengesahkan kemenangan 21-11 pada set kedua dalam tempoh 35 minit.
Keputusan itu membolehkan Pearly-Thinaah menamatkan badi kekalahan 13 kali sepanjang 15 pertemuan setakat ini.
Kali terakhir mereka menewaskan gandingan Jepun itu adalah pada Terbuka Perancis 2022, selebihnya menjadi milik Matsuyama-Shida yang terus mendominasi termasuk pada aksi Piala Sudirman tahun ini.
Pearly-Thinaah akan membuat pertemuan di pentas akhir menentang gandingan China sama ada Liu Sheng Shu-Tan Ning dan Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian.
Sementara itu, hasrat beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei melangkah ke pentas akhir kejohanan Super 750 itu berkecai selepas disekat juara bertahan yang juga pasangan pilihan kedua kejohanan dari China Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Beregu ranking keempat dunia itu tunduk dengan keputusan 12-21, 16-21.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial