WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Penolong Pegawai Seni Bina PBT Perlis Dilepas Dengan Jaminan SPRM

21/07/2025 05:53 PM

KANGAR, 21 Julai (Bernama) -- Seorang penolong pegawai seni bina di pihak berkuasa tempatan (PBT) di Perlis yang direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah, telah dibebaskan hari ini dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pengarah SPRM Perlis Mohd Nor Adha Ab Gani berkata meskipun wanita berusia 37 tahun itu telah dibebaskan, siasatan lanjut masih diteruskan berhubung kes rasuah yang disyaki dilakukan bersama pesara pembantu penguat kuasa di PBT melibatkan jumlah kira-kira RM70,000 masih diteruskan.

"Pesara pembantu penguat kuasa di PBT yang direman bersama wanita terbabit pada 15 Julai lepas, telah dilepaskan pada 17 Julai. Walaupun kedua-duanya dilepaskan, siasatan masih berjalan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Media sebelum ini melaporkan wanita serta lelaki berusia 61 tahun itu disyaki meminta dan menerima rasuah antara RM300 hingga RM9,000 daripada pemohon sebagai balasan memudahkan proses kelulusan permit ubah suai rumah di sekitar Perlis bagi tempoh 2022 hingga 2024. 

Mereka dipercayai menerima wang rasuah daripada pemohon melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi suspek lelaki yang kemudiannya dikongsikan bersama suspek wanita.

Mohd Nor Adha berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan