PUTRAJAYA, 25 Julai (Bernama) -- Pelantikan Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi sebagai Ketua Audit Negara adalah sah dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Fahmi, yang juga jurucakap Kerajaan MADANI, berkata perkara itu telah disahkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada Mesyuarat Kabinet hari ini yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Memang dari segi Perlembagaan tidak timbul sebarang isu kerana ia menepati apa yang tertera dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada sidang media pasca Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.
Berdasarkan Perkara 105 Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan subperenggan 1(1) Jadual Pertama kepada Akta Audit 1957 [Akta 62], Ketua Audit Negara boleh dilantik dalam kalangan anggota perkhidmatan awam.
Baru-baru ini, beberapa pihak mendakwa jawatan Ketua Audit Negara yang kini disandang Wan Suraya adalah tidak sah kerana lantikan beliau tidak selari dengan Perlembagaan Persekutuan.
Mereka mendakwa jawatan itu sepatutnya disandang oleh individu yang sudah tidak lagi berada dalam perkhidmatan awam sama ada sudah bersara atau melepaskan jawatan.
Ini bagi memastikan Ketua Audit Negara dapat bertindak secara bebas tanpa terikat kepada mana-mana pegawai yang lebih tinggi daripada beliau dalam perkhidmatan awam.
Wan Suraya, yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia, dilantik sebagai Ketua Audit Negara berkuat kuasa pada 13 Jun 2023.
Sebelum ini, beliau pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha di Kementerian Perpaduan Negara dan Kementerian Pembangunan Usahawan serta dalam beberapa kapasiti di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri antaranya Timbalan Ketua Setiausaha (Strategi & Pemantauan).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial