KOTA KINABALU, 31 Julai (Bernama) -- Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah 2025 yang bakal berlangsung pada 7 hingga 10 Ogos ini di Tuaran menyasarkan kehadiran 10,000 pengunjung.
Naib Presiden Persatuan Rumpun Bajausama Sabah Datuk Japlin Akim berkata festival itu bertujuan menjadi platform pemerkasaan warisan, selain mengukuhkan perpaduan antara kaum dan etnik di negeri Sabah.
Beliau berkata festival itu akan mengetengahkan kekayaan budaya, adat resam dan tradisi masyarakat Bajausama yang unik dan menarik.
“Ia juga selaras dengan usaha untuk mempromosikan budaya tempatan ke peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Haji Aman dijadual merasmikan festival berkenaan di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama, Kampung Lok Batik, Tuaran, dengan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor juga Presiden Persatuan Rumpun Bajausama Sabah dijangka turut hadir.
Japlin berkata festival ini turut disokong oleh pelbagai agensi kerajaan bagi memastikan penyertaan menyeluruh daripada masyarakat tanpa latarbelakang kaum, bangsa, agama dan fahaman politik.
Beliau berkata pelbagai program dan aktiviti akan diadakan sepanjang festival itu, termasuklah pameran dan jualan produk kraf tangan, pertandingan Ratu Serimpak, pertandingan Betitik dan pertandingan fotografi digital makanan.
Selain itu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Warisan Negara dengan kerjasama kerajaan negeri akan turut menganjurkan Festival Cita Rasa Warisan@Sabah bersempena festival tersebut.
“Antara tarikan utama ialah demonstrasi masakan tradisional oleh beberapa cef terkenal negara,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial