WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Lelaki Didakwa Rompak Guna Pisau Di Kedai Serbaneka

05/08/2025 12:39 PM

MELAKA, 5 Ogos (Bernama) -- Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan menggunakan senjata tajam di sebuah kedai serbanika, Julai lepas. 

Tertuduh, Amirul Hamry Hambalyi Azahari, 27 tahun, didakwa dengan niat melakukan rompakan bersenjatakan sebilah pisau potong daging sebelum melarikan wang tunai sebanyak RM202.80, tiga kotak rokok berjenama, dan sebuah mesin pengimbas harga milik sebuah syarikat individu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis 7-Eleven di Jalan Laksamana Cheng Ho 2, Melaka Tengah, kira-kira pukul 3 pagi pada 29 Julai lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan.

Prosiding pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin, mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 serta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap dua minggu sekali dan menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon jaminan dikurangkan atas faktor dirinya diberi tekanan agar mengaku salah. 

Hakim Haderiah Siri membenarkan jaminan RM9,000 dan bersetuju dengan syarat tambahan dikemukakan, dan menetapkan 2 Sept depan sebagai tarikh serahan dokumen dan lantikan peguam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan