WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Ahli Perniagaan Dapat Injunksi, Caprice Diarah Padam Kenyataan Fitnah 

05/08/2025 04:32 PM

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan penyanyi rap Caprice memadamkan serta-merta semua hantaran berunsur fitnah terhadap seorang ahli perniagaan yang dimuat naik di Instagram miliknya, bulan lepas. 

Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan injunksi ad-interim dalam saman yang difailkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat perkapalan Datuk Seri R. Jeyenderan, 50, terhadap Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 39. 

Caprice juga dihalang daripada terus mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap plaintif sementara menunggu pendengaran injunksi inter-parte selesai.

Perkara itu disahkan oleh peguam V. Muniandy, Fiona Aurelia Culas dan Muhammad Afiq Yahawa yang mewakili Jeyenderan serta peguam Megat Syazlee Mokhtarom, bagi pihak Caprice, ketika dihubungi Bernama.

Jeyenderan, yang memfailkan saman itu pada 21 Julai lepas, mendakwa Caprice telah memuat naik beberapa hantaran termasuk gambar dan video plaintif di Instagram miliknya pada 10 Julai yang didakwa mengaitkan plaintif dengan kegiatan jenayah, gangsterisme serta ugutan bersenjata tanpa sebarang bukti sah. 

Jeyenderan mendakwa fitnah itu dibuat bagi menimbulkan syak wasangka, kebencian masyarakat dan tekanan sosial terhadap plaintif selain menyatakan Caprice tidak pernah menghubungi beliau atau wakilnya untuk mendapatkan pengesahan atau penjelasan sebelum menerbitkan dakwaan serius tersebut.

Beliau mendakwa tindakan itu jelas menunjukkan bahawa defendan tidak berniat untuk menyampaikan maklumat yang adil dan benar sebaliknya bertujuan mencemarkan nama baik dan reputasi plaintif kerana Caprice mempunyai pengaruh yang besar di Instagram dengan jumlah pengikut lebih 1.5 juta orang.

Akibat penerbitan fitnah itu, Jeyenderan mendakwa reputasinya sebagai pakar perkapalan dan maritim terjejas di peringkat global malah beliau telah mengalami kerugian khas berjumlah RM1 juta selepas kehilangan beberapa kontrak ceramah utama di Dubai, Turki dan India yang ditawarkan oleh sebuah syarikat berpangkalan di Dubai.

Beliau berkata pada 15 Julai lepas, satu notis tuntutan telah dikeluarkan oleh peguam caranya yang mengemukakan beberapa tuntutan kepada Caprice namun telah dinafikan oleh defendan melalui Tetuan Megat Iqbal & Co.

Plaintif menuntut ganti rugi sebanyak RM3 juta atas kerosakan reputasi, ganti rugi khas, ganti rugi am dan ganti rugi teladan, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. 

Jeyenderan juga memohon mahkamah mengeluarkan perintah injunksi bagi menghalang Caprice menerbitkan fitnah selanjutnya, memadamkan semua kenyataan terbabit serta memohon maaf secara terbuka di semua akaun media sosial milik atau di bawah kawalan beliau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan