WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Belanjawan 2026 Seiring Dengan Pelaksanaan Tahun Pertama RMK13 - PM Anwar

07/08/2025 03:23 PM

PUTRAJAYA, 7 Ogos (Bernama) -- Belanjawan 2026 akan diselaraskan dengan pelaksanaan inisiatif tahun pertama Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) untuk memastikan hala tuju pembangunan negara bergerak seiring dengan kerangka dasar jangka masa sederhana yang telah dilancarkan sebelum ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Belanjawan 2026 akan menekankan dua aspek utama iaitu usaha menaikkan siling untuk memacu pertumbuhan dan pelaburan strategik, serta menaikkan lantai demi menjamin kesejahteraan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.

“Kita telah lancarkan Rancangan Malaysia ke-13, jadi Belanjawan 2026 mesti selari dengan pelaksanaan tahun pertama RMK13. Pelaksanaan ini harus berlandaskan hasrat kerangka besar RMK13 yang menekankan siling dan lantai yang harus dinaikkan,” kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri sesi libat urus Belanjawan 2026 di sini hari ini.

Menurut Takwim Parlimen, Belanjawan 2026 dijadualkan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 10 Oktober ini.

Menaikkan siling merujuk kepada strategi mempertingkatkan potensi dan daya saing negara melalui pelaburan dalam inovasi, teknologi serta pembangunan bakat, manakala menaikkan lantai pula bermaksud memperkukuh penyampaian perkhidmatan asas kerajaan seperti pendidikan dan kesihatan agar tiada golongan yang tercicir.

Anwar berkata pendekatan menaikkan siling akan terus merangsang pelaburan dan pertumbuhan ekonomi, manakala menaikkan lantai memberi jaminan bahawa perkhidmatan asas kepada rakyat seperti pendidikan, kesihatan dan pendapatan minimum ditingkatkan, selari dengan agenda reformasi yang dibawa kerajaan.

Pendekatan tersebut merupakan antara strategi utama di bawah kerangka Ekonomi MADANI yang digariskan kerajaan untuk membangunkan negara secara seimbang dan inklusif.

“Kalau kita bicara soal pertumbuhan dan pelaburan tanpa tidak memikirkan soal lantai, ini boleh menjadi masalah kerana harga barang tidak susut. Harga mesti naik sedikit. Kalau gaji naik setimpal atau lebih, ini tidak akan memberi tekanan kos sara hidup seperti yang dirasai oleh sebahagian daripada rakyat kita,” kata beliau.

Mengulas mengenai tarif ke atas eksport Malaysia ke Amerika Syarikat, Perdana Menteri menzahirkan rasa syukur kerana kadar tarif dapat dikurangkan kepada 19 peratus, walaupun beberapa syarat perjanjian tidak boleh diubah.

“Syukur kerana sekurang-kurangnya 19 peratus, walaupun dalam perjanjian dan syarat-syarat itu kita lebih beruntung berbanding dengan beberapa negara lain. Saya percaya kejayaan kita membantu menyelesaikan konflik Kemboja-Thailand sedikit sebanyak melembutkan sikap mereka terhadap kita,” kata beliau.

Mengenai kebimbangan berkaitan tarif ke atas semikonduktor yang dikenakan ke atas beberapa syarikat, Anwar berkata majoriti pemain utama industri itu di Malaysia telah mempunyai komitmen pelaburan dan operasi di AS.

“Seperti Infineon, saya tidak pasti sama ada mereka ada operasi di AS, tetapi syarikat besar dari Jerman ini memenuhi keperluan Eropah dan negara lain. Kita sedang pantau,” kata beliau.

Beliau berkata pada masa sama penyertaan aktif syarikat swasta dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) adalah penting dalam program menyantuni rakyat, termasuk inisiatif Kampung Angkat Madani, Sekolah Angkat dan Sejahtera Madani.

“Setakat ini, 1,000 sekolah telah dikenal pasti sebagai sekolah angkat. Kita juga usulkan supaya setiap kampung Felda, kampung tradisional dan kawasan miskin bandar menerima peruntukan RM100,000 di bawah program Sejahtera Madani,” kata beliau.

Beliau berkata pendekatan ini memberi ruang kepada komuniti tempatan untuk menentukan sendiri bentuk perbelanjaan yang paling sesuai mengikut keperluan mereka, termasuk penggunaan teknologi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan