WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pusat Pakar Pergigian Pertama Negara Siap Dibina Di N.Sembilan

07/08/2025 03:50 PM

SEREMBAN, 7 Ogos (Bernama) -- Pusat Pakar Pergigian Negeri Sembilan di Jalan Rasah di sini telah siap dibina dengan kos RM32 juta dan merupakan pusat pakar pergigian pertama di negara ini, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata pembinaan projek di tapak seluas 0.8 hektar bersebelahan Klinik Kesihatan Seremban telah bermula 30 Mac 2021 dan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini setelah siap pada 15 April lepas.

Ahmad berkata pusat berkenaan yang mula beroperasi bulan depan itu antara lain menyediakan perkhidmatan pakar ortodontik, periodontik, pembedahan restoratif dan kesihatan pergigian awam di samping diagnostik dan pengimejan.

“Bangunan ini merangkumi 18 unit kerusi pergigian dengan projek pembinaan dilaksanakan oleh kontraktor utama, Derrida (M) Sdn Bhd menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan memperoleh penilaian skor IBS melebihi 70 peratus," katanya semasa berucap pada Majlis Penyerahan Projek Siap Pusat Pakar Pergigian Negeri Sembilan di sini hari ini. 

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, Pengarah JKR negeri Datuk Ir Wan Hasnan Wan Musa dan Setiausaha Bahagian Kanan Pembangunan KKM Datin Paduka Roslinah Md Jani.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata KKR melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) khususnya Cawangan Kerja Kesihatan akan melaksanakan 167 projek kemudahan kesihatan di seluruh negara dengan kos RM18.05 bilion.

Beliau berkata ini termasuk 60 projek bernilai RM5.54 bilion dalam fasa perancangan manakala bakinya dalam fasa pembinaan dan projek pascapembinaan.

Sementara itu Roslinah dalam ucapannya berkata Pusat Pakar Pergigian Negeri Sembilan merupakan fasiliti pertama di negara ini yang menawarkan perkhidmatan kepakaran pergigian di luar hospital.

Beliau berkata ia berfungsi sebagai pusat sehenti bagi perkhidmatan kepakaran pergigian di Zon Tengah yang meliputi Negeri Sembilan, Putrajaya dan Melaka.

"Penubuhan pusat ini akan memberi akses perkhidmatan kepakaran pergigian lebih menyeluruh khususnya bagi kes rujukan kepakaran daripada fasiliti kesihatan pergigian lain di kawasan terlibat termasuk daripada klinik pergigian swasta.

"Tempoh menunggu pesakit dan sela waktu temu janji kini dapat dikurangkan dengan ketara di pusat pakar pergigian ini dari dua bulan kepada hanya dua atau tiga minggu," katanya.

Roslinah berkata pusat pakar pergigian ini turut dilengkapi dengan sebuah makmal kemahiran, satu kemudahan unik yang belum pernah disediakan oleh fasiliti pergigian lain sebelum ini.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata projek berkenaan adalah antara inisiatif penting Kerajaan Negeri dan Persekutuan bagi memperkukuh infrastruktur kesihatan pergigian di negeri ini.

Beliau berkata pusat pakar pergigian serba lengkap dan moden ini menyediakan perkhidmatan kesihatan pergigian berkualiti, pantas dan berkesan untuk manfaat rakyat.

“Rakyat dapat menerima rawatan pergigian lebih baik, memandangkan kos rawatan di klinik swasta yang semakin tinggi,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan