KOTA BHARU, 22 Ogos (Bernama) -- Seorang lelaki yang disyaki membawa dadah ditahan selepas cuba melanggar anggota polis ketika sekatan jalan raya di Chiku 3, Gua Musang, hari ini.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Sik Choon Foo berkata dalam kejadian 6.22 petang itu, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) Cegah Jenayah menerima maklumat mengenai sebuah kereta jenis Proton Preve dipandu dalam keadaan mencurigakan.
“Anggota MPV cuba menahan kenderaan itu di KM42 Jalan Gua Musang-Kota Bharu, di Chiku 3 dengan meletakkan kenderaan peronda di tengah jalan. Namun, suspek memecut laju dan cuba merempuh anggota yang sedang bertugas.
“Bagi mempertahankan diri, seorang anggota melepaskan satu das tembakan ke arah tayar belakang di sebelah kanan tetapi tidak mengenai sasaran. Suspek berjaya meloloskan diri sebelum dikejar semula dan akhirnya ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pemeriksaan lanjut menemukan dadah disyaki syabu seberat kira-kira 1.47 gram serta 33 biji pil Yaba dalam kenderaan itu.
Sik berkata kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian ini. Mereka yang mempunyai maklumat lanjut diminta menyalurkannya ke balai polis berhampiran atau menghubungi Balai Polis Paloh di talian 09-928 5090,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial