KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dalam cecair rokok elektronik atau vape bernilai RM1.48 juta dalam tujuh serbuan di Lembah Klang.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata dalam serbuan pada 22 Ogos, pihaknya telah menahan sembilan individu berumur 24 hingga 34 tahun, termasuk seorang wanita warga Thailand.
Beliau berkata siasatan mendapati sindiket terbabit menjadikan kondominium mewah yang mempunyai pagar dan pengawal keselamatan sebagai tempat memproses dan menyimpan dadah serta menggunakan penghantar untuk mengedar dadah terbabit di sekitar Lembah Klang.
"Hasil serbuan tersebut, kita berjaya merampas dadah jenis MDMA seberat 3.5 kilogram, 7.6 liter katrij MDMA dan botol cecair MDMA dianggarkan 39 liter.
"Kita percaya sindiket yang aktif sejak hujung tahun lepas itu mengedar dadah secara konvensional dan mempunyai sasaran pelanggan serta turut diedarkan di luar Lembah Klang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Fadil berkata siasatan mendapati katrij cecair vape yang dijual boleh mencecah RM100 hingga RM200 bagi setiap botol 15 mililiter.
Beliau berkata pihaknya turut merampas dan menyita pelbagai jenis kenderaan dan jam tangan mewah serta beg berjenama selain wang tunai RM1.5 juta.
Menurut Fadil, hasil ujian saringan air kencing mendapati semua individu ditahan negatif dadah, dan kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.
Beliau berkata lima suspek direman tujuh hari hingga esok manakala reman terhadap empat individu lagi ditolak.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial