WILAYAH - SELATAN > BERITA

ASEAN Perlu Perkukuh Platform Banteras Penipuan Dalam Talian - UNODC

11/09/2025 06:10 PM

Oleh Puti Iylia Maisarah Zol Azman

MELAKA, 11 Sept (Bernama) -- Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) menekankan kepentingan utama untuk negara-negara ASEAN mewujudkan satu platform kukuh untuk memerangi jenayah terancang, khususnya penipuan dan jenayah siber, memandangkan insiden sedemikian semakin meningkat dan berkembang setiap hari.

Wakil Timbalan Serantau UNODC Benedikt Hofmann berkata Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) ke-19 dan mesyuarat berkaitan di Melaka, berlangsung pada masa yang sangat penting untuk memperkukuh kerjasama antara negara anggota.

“Jenayah terancang seperti penipuan dan jenayah dalam talian berkembang begitu pantas dan berubah hampir setiap hari. Perubahan ini memerlukan negara-negara menukar haluan dan mempercepat tindakan balas mereka,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Hofmann berkata walaupun aktiviti jenayah tidak mengenal sempadan, pelaku sering mengeksploitasi batas bidang kuasa untuk kepentingan mereka, sama ada beroperasi dari negara yang mempunyai persekitaran lebih menguntungkan atau menggunakan pelbagai kewarganegaraan untuk mengelak tindakan penguatkuasaan undang-undang.

“Itulah sebabnya kerjasama rentas sempadan, perkongsian maklumat yang lebih baik, serta operasi bersama yang lebih kukuh adalah amat penting,” katanya.

Beliau berkata kerumitan pengubahan wang haram yang semakin meningkat, khususnya yang berkaitan dengan mata wang kripto yang dikaitkan dengan pusat penipuan dan perjudian haram, menjadi pemangkin kepada pelbagai aktiviti jenayah rentas sempadan.

“Sistem perbankan underground ini merupakan aspek kritikal bukan sahaja untuk menangani isu penipuan, tetapi juga bentuk jenayah terancang lain. Jika anda berjaya menjejaki wang tersebut, anda juga akan dapat menjejaki organisasi jenayah di belakangnya,” katanya lagi.

Mengenai sokongan UNODC kepada negara anggota ASEAN, Hofmann berkata usaha berbilang peringkat yang dilaksanakan organisasi itu bagi membantu negara berkongsi dan menganalisis maklumat, membuat kesimpulan, serta memperkukuh perundangan dan rangka kawal selia bagi mata wang kripto, selain pembangunan kapasiti keseluruhan.

Beliau menyatakan bahawa ASEAN sangat berbeza dari segi tahap keupayaan, dengan sesetengah negara mempunyai kemampuan canggih seperti analisis bukti elektronik, manakala ada yang lebih terhad, sambil menambah bahawa adalah sangat penting bagi rantau ini secara kolektif berusaha menyelaraskan tahap keupayaan ke aras standard yang setara.

Melaka menjadi pusat tumpuan serantau minggu ini apabila menteri-menteri ASEAN dan pegawai kanan yang bertanggungjawab terhadap keselamatan dan jenayah rentas sempadan berhimpun dari Isnin lepas hingga esok bagi menghadiri AMMTC ke-19 dan mesyuarat berkaitan.

Acara itu diadakan bersempena dengan Kepengerusian ASEAN–Malaysia 2025 di bawah tema "Keterangkuman dan Kemampanan", mencerminkan komitmen negara untuk membina komuniti ASEAN yang lebih selamat dan makmur.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan