CYBERJAYA, 28 April (Bernama) -- Penggubalan undang-undang khusus bagi pasaran digital perlu dipertimbangkan bagi memastikan perlindungan pengguna kekal berkesan dalam landskap perdagangan yang semakin kompleks dan dipacu teknologi.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perkara itu penting memandangkan perkembangan pesat digitalisasi telah meningkatkan risiko manipulasi pasaran, eksploitasi data dan penipuan dalam talian yang semakin membimbangkan.
"Tahun lepas sahaja, hampir 68,000 kes penipuan dalam talian direkodkan dengan kerugian melebihi RM2.8 bilion. Lebih menyedihkan, mangsa yang paling terkesan adalah dalam kalangan warga emas dan golongan rentan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) ke-54 dan pelancaran Dasar Pengguna Negara 2.0, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali dan Timbalannya Datuk Dr Fuziah Salleh serta Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam.
Ahmad Zahid berkata pada masa sama, perubahan tingkah laku pengguna yang dipengaruhi algoritma, promosi digital dan pemasaran dalam talian turut menyumbang kepada peningkatan hutang isi rumah serta tekanan kewangan dalam kalangan masyarakat.
Sehubungan itu, beliau berkata pengukuhan kerangka perundangan dilihat perlu bagi memastikan pasaran digital tidak bergerak lebih pantas daripada peraturan yang mengawalnya, selain menjamin ketelusan maklumat produk, harga dan proses pemulangan wang kepada pengguna.
Beliau berkata langkah tersebut juga selari dengan usaha memperkukuh pelaksanaan Dasar Pengguna Negara (DPN) 2.0, yang menekankan perlindungan pengguna bukan sahaja dari segi harga dan kualiti, tetapi juga daripada risiko digital, manipulasi pasaran dan eksploitasi data.
Dalam konteks itu, Ahmad Zahid berkata pendekatan keseluruhan kerajaan atau whole-of-government melibatkan kerjasama antara kementerian dan agensi kerajaan dilihat penting bagi meningkatkan literasi pengguna dan literasi digital, khususnya dalam kalangan masyarakat luar bandar serta kumpulan rentan.
Beliau berkata perlindungan pengguna dalam era ekonomi digital kini bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu keperluan negara bagi memastikan kestabilan pasaran dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial