WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kajian Menyeluruh Perlu Sebelum Naik Taraf Tapak Pelupusan Kayu Madang - ADUN

28/04/2026 10:43 PM

KOTA KINABALU, 28 April (Bernama) -- Kajian menyeluruh melibatkan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA), Penilaian Kesan Sosial (SIA) serta Penilaian Kesan Kesihatan (HIA) perlu dilaksanakan secara bebas sebelum tapak pelupusan sampah di Kayu Madang, Telipok dekat sini dinaik taraf kepada tapak pelupusan sanitari.

Datuk Jasnih Daya (GRS-Pantai Dalit) ketika mencadangkan perkara itu berkata usaha menaik taraf itu perlu mengambil kira keperluan melengkapkan tapak pelupusan sanitari dengan sistem kawalan gas, rawatan larut resap serta penutupan sisa harian yang lebih sistematik.

“Tapak pelupusan sanitari ialah kaedah pengurusan sisa pepejal terancang (iaitu) sampah ditempatkan di kawasan khusus, dimampatkan dan ditutup dengan tanah setiap hari untuk mencegah pencemaran alam sekitar,” katanya ketika membahas usul terima kasih atas ucapan dasar Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Beliau berkata tapak pelupusan Kayu Madang merupakan tapak pelupusan sisa pepejal utama bagi kawasan Pantai Barat Sabah termasuk Kota Kinabalu, Tuaran, Penampang, Putatan dan Kota Belud yang menerima kira-kira 800 tan sisa pepejal setiap hari dengan keluasan sekitar enam hektar.

Jasnih berkata tapak pelupusan itu juga telah menghampiri kapasiti maksimum dan berada dalam fasa akhir operasinya sekali gus menunjukkan tekanan yang sangat tinggi terhadap sistem pengurusan sisa sedia ada dan meningkatkan risiko kegagalan pengurusan sisa pada masa hadapan.

Beliau berkata tapak berkenaan pernah mengalami insiden kebakaran besar termasuk dua tahun lepas yang melibatkan kawasan seluas 4.57 hektar serta insiden terbaru pada Mac melibatkan longgokan tayar seluas kira-kira 1.2 hektar.

“Kebakaran ini bukan sahaja mengakibatkan asap tebal, malah membebaskan bahan pencemar berbahaya ke udara yang memberi risiko kesihatan awam seperti masalah pernafasan dan pendedahan jangka panjang kepada bahan toksik,” katanya.

Dari sudut perancangan wilayah, katanya, kewujudan tapak pelupusan berskala besar berhampiran penempatan dan zon pembangunan merupakan satu konflik guna tanah yang nyata, selain berpotensi menjejaskan nilai hartanah, menghalang pelaburan serta mengurangkan daya tarikan pembangunan di kawasan sekitar.

“Lebih membimbangkan, kebergantungan kepada satu tapak pelupusan bagi beberapa daerah tanpa pelan alternatif menunjukkan kelemahan dalam perancangan sistem pengurusan sisa pepejal di peringkat negeri,” katanya.

Jasnih berkata pelaksanaan dasar pengasingan sisa dari punca secara mandatori juga perlu dipercepat bagi mengurangkan beban sisa ke tapak pelupusan, di samping merangka pelan jangka panjang meliputi pembangunan tapak pelupusan baharu dan penerokaan teknologi sisa kepada tenaga.

Dalam perkembangan lain, Datuk Mohd Arsad Bistari (GRS-Tempasuk)pula mencadangkan kerajaan negeri supaya memperluas pelaksanaan Program Kebun Dapur daripada skala isi rumah kepada skala komuniti termasuk di kampung dan taman perumahan.

Beliau berkata inisiatif itu juga perlu disokong oleh pusat pengumpulan dan pemasaran hasil yang lebih sistematik bagi mengurangkan pembaziran serta meningkatkan pendapatan petani.

“Pelaksanaan Program Kebun Dapur di bawah inisiatif Revolusi Ekonomi Luar Bandar 2026-2030 perlu disokong kerana ini merupakan satu langkah strategik bagi memastikan masyarakat mendapat bekalan makanan yang mencukupi,” katanya.

Mohd Arsad turut mencadangkan pelan tindak balas disediakan yang memberi fokus kepada simpanan strategik makanan negeri, pemantauan harga secara masa nyata, pengukuhan rantaian bekalan tempatan, pengurangan kebergantungan import serta penyelarasan lebih erat dengan Kerajaan Persekutuan berkaitan subsidi dan kawalan harga.

Persidangan DUN Sabah disambung esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan