KUANTAN, 29 April (Bernama) -- Polis Pahang merekodkan 902 kes dan 1,094 tangkapan menerusi empat siri Ops Hawk yang dilaksanakan dari Januari hingga April tahun ini dalam usaha membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah di negeri itu.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata operasi berkenaan memberi tumpuan kepada kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi kegiatan dadah termasuk tanah rancangan Felda, pot mobile serta lokasi hasil aduan hotline daripada orang ramai.
“Daripada jumlah tangkapan itu, 167 melibatkan kes bekalan, 308 kes memiliki dan 619 bagi kesalahan ujian air kencing,” katanya pada sidang media selepas Program Kempen Derma Darah sempena sambutan Hari Polis ke-219 di Kompleks Polis Alor Akar di sini hari ini.
Beliau berkata mereka yang ditahan berusia antara 15 hingga 77 tahun, dengan individu termuda dikenal pasti sebagai remaja tercicir sekolah.
Selain tangkapan, beliau berkata pihaknya juga berjaya mengesan dan menangkap 166 individu dikehendaki, selain mengambil tindakan pencegahan terhadap 20 individu di bawah Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas 1985 (LLPK).
“Seramai 295 penagih tegar juga dikenakan tindakan di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Menerusi operasi itu juga, Yahaya berkata pihaknya merampas lebih 43 kilogram dadah merangkumi syabu, heroin, ganja, pil Yaba, Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dan daun ketum serta 355.6 liter air ketum, keseluruhan dianggarkan bernilai RM158,054.
“Pihak polis turut menyita pelbagai aset yang disyaki diperoleh hasil aktiviti dadah termasuk wang tunai dan kenderaan dengan nilai keseluruhan RM266,120,” katanya.
Beliau berkata Ops Hawk akan diteruskan sepanjang tahun ini bagi mengekang bekalan dadah serta mengurangkan kesan sosial lain yang berpunca daripada penyalahgunaan bahan terlarang itu.
Dalam perkembangan lain, Yahaya berkata pihak polis memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan terhadap seorang pegawai kanan polis yang ditahan reman bagi membantu siasatan kes rasuah.
Semalam media melaporkan, seorang pegawai kanan polis direman lima hari hingga 2 Mei ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta dan menerima rasuah kira-kira RM64,000 sebagai balasan melindungi kegiatan pusat hiburan tidak sah di sebuah daerah di Pahang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial