WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AS Akan Naikkan Tarif Kereta Dan Trak EU Kepada 25 Peratus Minggu Depan

02/05/2026 10:22 AM

WASHINGTON, 2 Mei (Bernama-Yonhap) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Jumaat berkata pentadbirannya akan menaikkan tarif ke atas kereta dan trak dari Kesatuan Eropah (EU) kepada 25 peratus minggu depan, dengan mendakwa blok serantau itu tidak mematuhi perjanjian perdagangan dua hala dengan AS, lapor Agensi Berita Yonhap.

Trump membuat pengumuman itu menerusi hantaran di media sosial, sambil mengulangi bahawa jika negara menghasilkan kenderaan di AS, tiada tarif akan dikenakan.

“Saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa, berdasarkan fakta Kesatuan Eropah tidak mematuhi perjanjian perdagangan yang telah dipersetujui sepenuhnya dengan kita, minggu depan saya akan menaikkan tarif yang dikenakan ke atas Kesatuan Eropah bagi kereta dan trak yang masuk ke Amerika Syarikat,” tulisnya di Truth Social. “Tarif itu akan dinaikkan kepada 25 peratus.”

Di bawah perjanjian perdagangan tahun lepas, pentadbiran Trump mengurangkan tarif ke atas kenderaan EU kepada 15 peratus. Sebelum itu, kereta EU tertakluk kepada kadar keseluruhan 27.5 peratus, yang terdiri daripada tarif khusus sektor sebanyak 25 peratus serta levi sedia ada sebanyak 2.5 peratus.

Dalam sesi taklimat media kemudian, Trump menyatakan kenaikan tarif itu bertujuan memberi tekanan kepada EU supaya mempercepat usaha memindahkan pengeluaran automotif syarikat mereka ke AS.

“Ia memaksa mereka memindahkan pengeluaran kilang dengan lebih cepat,” katanya mengenai kenaikan tarif itu.

Beliau turut berkata ketika ini terdapat lebih US$100 bilion nilai pembinaan loji automotif sedang dilaksanakan di AS.

“Ia satu rekod. Kita tidak pernah melihat perkara seperti ini ... dari semua negara: Jepun, Korea Selatan ... Kanada, Mexico. Mereka semua membina loji di Amerika Syarikat,” katanya. “Tetapi Kesatuan Eropah tidak mematuhi perjanjian yang kita capai.”

Pengumuman kenaikan tarif itu dibuat ketika Trump mengkritik anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) kerana tidak memenuhi gesaannya supaya memberikan bantuan tentera laut bagi mengawal keselamatan laluan penting Selat Hormuz, seperti menghantar kapal perang untuk mengiringi kapal dagang melalui perairan itu.

Pada Rabu, presiden itu berkata pentadbirannya sedang “meneliti dan mengkaji” kemungkinan pengurangan tentera AS di Jerman, dengan keputusan dijangka dibuat dalam “tempoh terdekat”.

Dalam hantaran Jumaat itu, beliau turut menekankan usahanya untuk menghidupkan semula industri pembuatan automotif Amerika.

“Banyak loji kereta dan trak kini sedang dibina, dengan pelaburan melebihi 100 bilion dolar, SATU REKOD dalam sejarah pembuatan kereta dan trak,” katanya. “Loji-loji ini, yang dikendalikan pekerja Amerika, akan mula beroperasi tidak lama lagi -- Tidak pernah berlaku perkara seperti yang sedang berlaku di Amerika hari ini!”

Di bawah perjanjian perdagangan dua hala dengan AS tahun lepas, kenderaan Korea Selatan tertakluk kepada tarif sebanyak 15 peratus.

-- BERNAMA-YONHAP

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan