WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Menyusuri Perjalanan Guizhou Ke Era Baharu

11/05/2026 09:59 AM


From Kuvineshwaren Nedunjelian

Berlatarkan puncak berselimut kabus serta curahan deras air terjun serta perkampungan kuno, wilayah pergunungan Guizhou di barat daya China merupakan destinasi yang cukup mempesonakan untuk dilawati.

Dikenali dengan banjaran gunung karst serta warisan etnik yang tidak dapat ditemukan di kawasan lain, wilayah ini menawarkan pelbagai pengalaman menarik kepada pelawat. Mereka boleh memilih sama ada mengunjungi puncak suci seperti Gunung Fanjing atau ke pekan berusia ratusan tahun namun masih mengekalkan tradisi lama, atau bermain bola keranjang di dalam gua.

Kesemua pengalaman itu dilalui penulis yang menyertai satu lawatan media ke Guizhou  menerusi program ‘China Storyteller Partnerships: Explore Colourful Guizhou’ yang berlangsung dari 27 hingga 31 Mac lepas, anjuran akhbar berbahasa Inggeris China,  China Daily.

Program itu melibatkan 38 peserta terdiri daripada 15 wartawan antarabangsa, pencipta kandungan, serta wakil daripada China Daily, jabatan berkaitan di peringkat wilayah dan organisasi media utama wilayah berkenaan.

Kami dibawa menyusuri perjalanan khas merentasi bandar Tongren dan Guiyang – ibu negeri Guizhou – serta kawasan sekitarnya, bagi menyaksikan bagaimana wilayah itu mentransformasikan aset semula jadi dan budaya menjadi naratif global yang menarik.

 

BOLA KERANJANG DI DALAM GUA

Mendengar bunyi lantunan bola di atas gelanggang yang bergema di dalam gua, memberikan satu pengalaman amat berbeza. Gelanggang ini dibina di dalam gua batu kapur Gua Fengming, terletak di tengah-tengah banjaran pergunungan karst Yanhe Tujia. Di sepanjang banjaran ini, mengalir Sungai Wu (Wujiang - jiang bermaksud sungai) yang merupakan laluan air terpenting di wilayah berkenaan.  

Formasi batu kapur yang mencecah awan serta suhu nyaman sepanjang tahun menjadikan kawasan ini lokasi ideal bagi sebuah venue sukan luar biasa.

pic-2

Malah, kami turut dijemput menyertai beberapa perlawanan persahabatan bersama-sama dengan penduduk kampung yang ternyata pemain hebat dan berjaya membuatkan kami, pemain pelawat, memberi sepenuh perhatian di gelanggang.

Aktiviti “bola keranjang gua” di Yanhe Tujia bermula sebagai inisiatif akar umbi yang disokong komuniti setempat sebelum berkembang menjadi tarikan unik yang memikat kedatangan pasukan dan penonton dari pelbagai wilayah.

Usaha ini sememangnya satu pendekatan berinovasi dalam pembangunan luar bandar,  menggabungkan sukan, pelancongan dan sumber semula jadi bagi menjana manfaat ekonomi serta sosial buat penduduk setempat.

 

LANDSKAP MENAKJUBKAN

Ciri utama Guizhou ialah landskapnya yang mengagumkan dengan gunung-ganang serta bukit-bukau meliputi sebahagian besar wilayah itu.

Antara lokasi paling ikonik ialah Gunung Fanjing setinggi 2,570 meter, sebuah Tapak Warisan Semula Jadi Dunia UNESCO yang terkenal dengan biodiversiti luar biasa, terletak di bahagian timur laut wilayah berkenaan.

pic-3

Puncak ikonik “Red Clouds Golden Summit” yang berada pada ketinggian 2,336 meter dari aras laut boleh diakses menerusi perjalanan kereta kabel selama 15 minit, diikuti pendakian selama 45 minit hingga satu jam

Pendakian itu agak mencabar dengan laluan curam serta tangga batu yang sempit, terutama di bahagian akhir menuju “Golden Summit” (Puncak Keemasan). Namun, laluan berkenaan diselenggara dengan baik dan dilengkapi pagar keselamatan. Mereka yang berjaya sampai di puncak akan “dihadiahkan” dengan panorama memukau, puncak gunung berselimut kabus dan formasi batuan menakjubkan termasuk “Mushroom Rock” yang terkenal.

Kawasan Gunung Fanjing turut mencerminkan komitmen teguh China terhadap pemuliharaan alam sekitar, menerusi pelaksanaan pelbagai langkah bagi memastikan pembangunan sektor pelancongan bergerak seiring dengan usaha memelihara keutuhan ekosistem di kawasan tersebut.

 

INDUSTRI MATCHA 

Guizhou juga kian dikenali menerusi transformasi sektor pertaniannya, khususnya industri matcha, iaitu serbuk teh hijau halus dihasilkan daripada daun teh yang ditanam dan diproses secara khusus.

Daerah Jiangkou di Tongren muncul sebagai pusat utama pengeluaran matcha berkualiti tinggi, disokong ladang yang luas serta kemudahan pemprosesan moden. Produk matcha dari wilayah tersebut kini dieksport ke pelbagai negara.

pic-4

Gabungan teknologi moden dengan kaedah tradisional penanaman teh berjaya meningkatkan produktiviti dan kualiti, sekali gus meletakkan Guizhou sebagai pemain kompetitif dalam industri matcha global.

Industri itu juga membuka peluang pendapatan stabil kepada petani tempatan, sekali gus menyokong usaha lebih luas dalam pembasmian kemiskinan dan pemerkasaan semula luar bandar.

Guizhou turut memiliki pelbagai tapak bersejarah. Di Kawasan Pelancongan Sejarah dan Budaya Zhongnanmen di Tongren, seni bina berusia ratusan tahun dari era Dinasti Ming dan Qing dipelihara dengan teliti, menawarkan gambaran tentang sejarah silam wilayah berkenaan.

Kawasan itu menampilkan rangkaian bangunan lama, halaman tradisional dan lorong sempit yang menjadi lebih meriah pada waktu malam menerusi persembahan kebudayaan dan pertunjukan cahaya, menjadikannya pusat tumpuan yang “hidup” tanpa menghilangkan pesona sejarahnya.

Peserta program turut dibawa ke gaung Lizhi, iaitu antara tarikan utama dalam portfolio ekopelancongan Guizhou. Terletak di Sungai Wu, gaung itu menghasilkan landskap indah dengan tebing tinggi, air terjun dan air berwarna hijau zamrud, menawarkan pengalaman yang tenang namun mengagumkan kepada pengunjung.

Selain keindahan visualnya, kawasan itu juga mempunyai nilai budaya tersendiri dengan legenda tempatan yang menambah keunikan pengalaman pelawat.

 

TEKNOLOGI MENGUBAH PENCERITAAN 

Di bandar Guiyang, delegasi berpeluang meneroka Muzium Seni Digital Budaya Long March, sebuah muzium seni digital imersif yang menggunakan teknologi canggih seperti realiti maya, kecerdasan buatan dan paparan interaktif untuk menyampaikan naratif sejarah dalam bentuk lebih menarik.

Tidak hanya bergantung pada pameran tradisional, pengalaman imersif itu membolehkan pengunjung “melangkah masuk” ke detik penting sejarah menerusi pendekatan pembelajaran pelbagai deria.

pic-5

Guiyang sendiri menjadi bukti pembangunan pesat dan transformasi bandar di Guizhou. Dikenali dengan iklimnya yang nyaman, bandar itu berkembang menjadi pusat moden yang menggabungkan landskap semula jadi dengan kemudahan moden.

Daripada pekan purba Qingyan yang bersejarah hingga pasar Qingyun yang meriah, Guiyang menawarkan pelbagai pengalaman yang memenuhi minat tradisional dan kontemporari.

Wilayah Guizhou yang satu ketika dahulu dianggap agak terpencil, kini berubah hasil peningkatan besar dalam infrastruktur, termasuk jaringan lebuh raya dan sistem rel berkelajuan tinggi yang luas.

Ketersambungan yang lebih baik itu memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan pelancongan, pembangunan ekonomi dan integrasi serantau.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan