WILAYAH - TENGAH > BERITA

Polis Berkas Lelaki Cederakan Individu Guna Pedang Di Cameron Highlands

11/05/2026 11:48 PM

KUANTAN, 11 Mei (Bernama) -- Seorang lelaki ditahan kerana disyaki mencederakan individu menggunakan pedang di sebuah tokong di Cameron Highlands semalam. 

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands Supt Azri Ramli berkata suspek berusia 39 tahun itu diberkas selepas pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berkaitan kejadian tersebut kira-kira 6 petang. 

Beliau berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa lelaki berusia 31 tahun sedang mengadakan upaca keagamaan di rumah ibadat berkenaan bersama rakan-rakannya.  

"Secara tiba-tiba suspek datang ke pekarangan tokong terbabit dengan membuat bising dan mengganggu pengunjung. Apabila diminta beredar suspek telah berang dan mengambil pedang yang berada di tokong lalu melibas ke arah mangsa. 

"Mangsa yang cuba menahan tindakan suspek telah mengalami kecederaan di bahagian tangan, dahi selain badan dan dibawa ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom di Tanah Rata sebelum dirujuk ke Hospital Fatimah, Ipoh untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata hasil semakan turut mendapati suspek mempunyai rekod jenayah antaranya berkaitan kesalahan dadah.

Azri berkata lelaki tersebut kini direman empat hari hingga Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. 

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan