TOKYO, 11 Mei (Bernama-Kyodo) -- Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi pada Isnin menafikan laporan bahawa kemnya menyebarkan video menerusi akaun tanpa nama untuk memburukkan lawan dalam pemilihan kepimpinan Parti Liberal Demokratik (LDP) tahun lalu dan pilihan raya umum Februari, lapor Kyodo News.
Laporan yang pertama kali disiarkan majalah mingguan Shukan Bunshun pada akhir April itu mendakwa setiausaha pertama Takaichi yang dibiayai dana awam serta beberapa individu lain menghasilkan dan memuat naik video mengkritik ahli politik termasuk pesaingnya dalam pemilihan kepimpinan LDP yang kini Menteri Pertahanan Shinjiro Koizumi, dengan melabelkannya sebagai “tidak berkemampuan” dan “boneka politik warisan”.
Laporan itu turut mendakwa mereka menghasilkan kandungan untuk pilihan raya Dewan Perwakilan pada 8 Feb yang melabel bekas pemimpin parti pembangkang Yukio Edano sebagai “pengadu profesional”. Edano kehilangan kerusinya selepas bertanding sebagai calon Centrist Reform Alliance.
“Saya dimaklumkan bahawa pejabat dan pasukan kempen saya sama sekali tidak menyebarkan maklumat negatif mengenai calon lain atau menghasilkan serta mengedarkan video sedemikian,” kata Takaichi di parlimen sebagai menjawab pertanyaan anggota pembangkang Yuko Mori.
Perdana menteri itu menambah bahawa menyerang lawan secara peribadi bukan “pendekatan” beliau.
Penafian itu merupakan kali kedua beliau membuat kenyataan sedemikian di parlimen sejak Jumaat apabila beliau berkata telah berbincang dengan setiausahanya mengenai perkara itu.
Takaichi memberitahu Mori bahawa beliau telah mendapatkan pengesahan secara langsung daripada kakitangannya sambil berkata: “Adakah saya perlu percaya kepada majalah mingguan atau setiausaha saya? Saya percaya kepada setiausaha saya.”
Takaichi membina reputasi melalui penggunaan media sosial yang berkesan, yang dilihat sebagai faktor penting kemenangan besar LDP dalam pilihan raya dewan rendah serta kejayaannya memenangi pemilihan parti untuk menjadi perdana menteri wanita pertama negara itu pada Oktober.
-- BERNAMA-KYODO
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial