WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Bernama Terus Unggul, Relevan Depani Era Digital - Fahmi

20/05/2026 12:32 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berharap Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) kekal unggul sebagai agensi berita nasional yang disegani serta sentiasa relevan dalam mendepani cabaran era digital.

Fahmi berkata selepas hampir enam dekad memainkan peranan sebagai nadi penyampaian maklumat negara, Bernama tetap teguh sebagai sumber berita yang diyakini rakyat berteraskan ketepatan, kredibiliti dan integriti seluruh warga kerjanya.

Beliau turut mendoakan agar Bernama terus cemerlang menabur bakti kepada agama, bangsa dan negara sempena sambutan ulang tahun ke-59 agensi berita itu, hari ini.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga Bernama atas komitmen, dedikasi serta profesionalisme dalam menyampaikan laporan yang pantas, tepat dan berwibawa sejak tahun 1967.

“Selamat Ulang Tahun ke-59, Bernama!,” kata Fahmi menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Bernama ditubuhkan di bawah Akta BERNAMA 1967 dan mula beroperasi pada 20 Mei 1968 dengan perkhidmatan teks berita sebelum berkembang kepada perkhidmatan foto, radio, televisyen dan media digital.

Agensi berita itu kini mempunyai 967 petugas terdiri daripada warga kerja tetap, kontrak dan sambilan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan