KULAI, 1 Julai (Bernama) -- Calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu M. Premanand, yakin kerusi berkenaan mampu menjadi pencetus gelombang baharu kepada parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Premanand, 53, muka baharu pada PRN kali ini berkata beliau optimis MUDA mampu mengulangi kejayaan di DUN Puteri Wangsa, pada PRN Johor yang lepas.
Beliau berkata keyakinan itu didorong penerimaan pengundi terhadap perjuangan MUDA yang mengangkat nilai ketelusan dan integriti, selain kredibiliti kepimpinan pengasas parti itu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang disifatkan sentiasa bekerja keras demi kepentingan rakyat walaupun berdepan pelbagai cabaran.
“Jadi, kami sangat yakin Bukit Batu boleh menjadi sasaran seterusnya, malah mungkin kami boleh memenangi kesemua empat kerusi, kerana rakyat melihat ideologi MUDA yang telus. Kalau nak seorang wakil rakyat seperti Syed Saddiq, anda kena beri undi untuk MUDA,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.
Premanand berkata faktor anak jati Kulai yang dikenali masyarakat setempat, selain pengalaman sebagai jurulatih dan perunding pembangunan organisasi, yang banyak berinteraksi dengan pelbagai industri di seluruh negara, menguatkan keyakinannya untuk meraih sokongan pengundi.
Mengulas agenda pembangunan untuk DUN Bukit Batu sekiranya diberi mandat, beliau berkata tumpuan utamanya adalah untuk memperluas peluang pekerjaan dan penduduk memperoleh gaji yang lebih bermaruah, selaras dengan keperluan industri semasa.
Ini kerana, beliau berkata masih wujud jurang ketara antara keperluan industri dengan kemahiran dimiliki golongan muda, sekali gus memberi kesan kepada peluang mereka memperoleh pekerjaan dengan gaji yang lumayan seiring peningkatan kos sara hidup.
“Gaji bermaruah maksudnya kita tak perlu pergi ke Singapura untuk dapatkan gaji lumayan. Kalau boleh, saya nak penduduk dekat Johor, kerja di Johor dan saya ingin memastikan Bukit Batu menjadi contoh DUN untuk Johor ataupun Malaysia berkaitan gaji ini,” katanya.
Premanand berkata masalah banjir di kawasan berkenaan antara isu yang memerlukan perhatian segera menerusi usaha memperkukuh langkah mitigasi bencana alam itu.
DUN Bukit Batu menyaksikan pertandingan lima penjuru membabitkan Premanand, calon Barisan Nasional (BN) R. Kumaran, Arthur Chiong Sen Sern daripada Pakatan Harapan (PH), G. Tamili mewakili Parti Bersama Malaysia (Bersama) dan calon Bebas Datuk Kamaruzaman Ali.
PRN Johor ke-16 akan diadakan 11 Julai ini, manakala pengundian awal ditetapkan pada 7 Julai.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor/.
-- BERNAMA
N51: BUKIT BATU - 49,963 pengundi
1. R. Kumaran (BN-MIC)
2. Datuk Kamaruzaman Ali (Bebas/IND)
3. G. Tamili (Bersama)
4. Chiong Sen Sern (PH-PKR)
5. M. Premanand (MUDA)
(2022: Chiong Sen Sern: PKR: Maj: 137)
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial