BERITA TERKINI   Saling bergantung antara negara berdaulat perlu dibina berasaskan prinsip pilihan, ketahanan, dan saling menghormati - PM Anwar | Keuntungan Tahun Kewangan 2025 Sime Darby turun 37.7 peratus kepada RM2.06 bilion berikutan tiada sumbangan daripada keuntungan jualan segmen penjagaan kesihatan | Dua maut, lima cedera dalam kebakaran rumah di Batu 36, Jalan Pontian, Johor pagi tadi - Bomba | Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub sah letak jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia - FAM | Timbalan Presiden Datuk Mohd Yusoff Mahadi dinamakan Pemangku Presiden FAM berkuat kuasa serta-merta - FAM | 

Perincian Subsidi RON95, Pengenalan Semula GST Dijangka Diumum Dalam Belanjawan 2025 - RHB IB 

KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- RHB Investment Bank Bhd (RHB IB) menjangka perincian selanjutnya mengenai rasionalisasi subsidi petrol RON95, dan sama ada kerajaan sedang mengkaji untuk memperkenalkan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) akan dimaklumkan dalam Belanjawan 2025.

Penganalisis RHB IB, Alexander Chia berkata selepas hampir dua tahun sejak pilihan raya umum ke-15 diadakan, kestabilan Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat teguh.

"Kami yakin kerajaan akan melakar kemajuan yang lebih bermakna dalam subsidi dan inisiatif untuk meluaskan asas cukai bagi mengurangkan lagi defisit fiskal, mewujudkan ruang utama untuk pelaburan infrastruktur, dan menghasilkan peluang untuk mengawal hutang negara.

"Dalam aspek ini, dua inisiatif utama yang masih belum diputuskan adalah rasionalisasi subsidi untuk petrol RON95 dan pengenalan semula GST yang bersesuaian dengan pelaksanaan penuh e-invois," katanya menerusi nota hari ini.

Bank pelaburan itu menjangkakan rasionalisasi subsidi RON95 akan dilaksanakan menjelang akhir  2024.

Secara keseluruhannya, RHB IB menjangkakan Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Oktober ini akan meliputi antaranya fiskal berhemat, tumpuan kepada segmen berpendapatan rendah, komitmen kepada pembaharuan dan inisiatif yang lebih jelas untuk meluaskan asas cukai.

Sehubungan itu, RHB IB mengunjurkan sasaran defisit fiskal bagi 2025 pada 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar, lebih rendah daripada sasaran pada 2024 iaitu 4.3 peratus.

Mengenai cukai barang bernilai tinggi (HVGT), RHB IB berkata terdapat "kemungkinan" untuk ia dinyatakan dalam Belanjawan 2025. 

Bagaimanapun, kaedah cukai yang akan dilaksanakan masih belum dapat dilihat terutama kadar cukai, jenis barangan yang akan dikenakan cukai dan ambang nilai yang ditetapkan.

-- BERNAMA