BERITA TERKINI   Cadangan caruman mandatori KWSP bagi pekerja asing, masing-masing dua peratus untuk pekerja, majikan - Steven Sim | SPB Development Bhd peroleh kelulusan Suruhanjaya Sekuriti untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada Suku-2 tahun ini | 

Syarikat Malaysia Dijangka Jana Potensi Jualan RM3 Bilion Di Canton Fair - ES Event

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- ES Event Management Sdn Bhd (ES Event) menjangkakan syarikat Malaysia menjana potensi jualan bernilai RM3 bilion dalam acara Canton Fair 2024 pada 15 Okt-5 Nov ini di Guangzhou, China.

ES Event merupakan sebuah syarikat pengurusan acara yang juga ejen tunggal Malaysia untuk Canton Fair, antara platform pameran perdagangan terbesar di China.

Pengarah Urusannya Datuk Chong Chong Tik berkata kira-kira 76 syarikat Malaysia akan menyertai pameran tahun ini di bawah Pavilion Malaysia.

"Acara Canton Fair ini adalah pameran terbesar yang mengumpulkan para pempamer dan pembeli pelbagai negara.

“Penyertaan syarikat tempatan kita dapat membantu mereka mengembangkan dan memperkenalkan produk ke pasaran lebih meluas," katanya kepada Bernama pada Pameran Komoditi Import dan Eksport Malaysia di sini hari ini.

Chong berkata usahawan yang mengambil bahagian dalam pameran itu juga berpotensi menerima geran pembangunan pasaran daripada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Pameran itu dianjurkan oleh Pusat Perdagangan Luar China dan dihoskan bersama Kementerian Perdagangan China.

-- BERNAMA