BERITA TERKINI   Kerajaan bakal gubal akta baharu berkaitan pekerja gig - TPM Ahmad Zahid | 

MPOB Alu-alukan Keputusan Kesatuan Eropah Tangguh Pelaksanaan EUDR

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengalu-alukan keputusan Suruhanjaya Eropah (EC) untuk menangguhkan pelaksanaan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) sehingga 30 Disember, 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif MPOC, Belvinder Sron berkata penangguhan itu adalah langkah wajar, memberikan kelegaan kepada perniagaan yang memerlukan masa tambahan untuk membuat persediaan bagi pematuhan terhadap peraturan kompleks EUDR.

“Ini adalah kemenangan kerana menggunakan akal fikiran (common sense) dan memberi kelegaan kepada semua perniagaan yang meminta penangguhan pelaksanaan tersebut.

“Pengeksport minyak sawit Malaysia boleh mematuhi EUDR...tiada keraguan mengenainya. Komitmen Malaysia terhadap bebas penebangan hutan termaktub dalam undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) adalah skim pensijilan minyak sawit mandatori terkemuka di dunia.

Sron berkata keputusan EC untuk menangguhkan pelaksanaan membolehkan rantaian bekalan global menyesuaikan diri dengan keperluan teknikal dan pentadbiran EUDR tanpa risiko gangguan perdagangan terutamanya untuk pekebun kecil.

“Malaysia lantang bersuara supaya menangguhkan pelaksanaan EUDR dan secara konsisten memberi amaran bahawa tarikh akhir 2024 ditetapkan tidak dapat dilaksanakan berdasarkan kepada kesediaan sistem Kesatuan Eropah (EU),” katanya.

Permohonan penangguhan itu disokong oleh kerajaan, industri dan golongan pakar di seluruh dunia, semuanya bimbang mengenai kesan negatif yang berpotensi berlaku terhadap pengeluar kecil-kecilan dan industri minyak sawit.

Sron berkata lanjutan masa diberikan itu harus digunakan untuk menangani kebimbangan utama termasuk pengecualian kepada pekebun kecil untuk mengelakkan mereka diketepikan daripada rantaian bekalan antarabangsa, mewujudkan kriteria penanda aras yang telus untuk kategorikan komoditi dihasilkan secara mampan seperti minyak sawit Malaysia sebagai 'berisiko rendah’ dan penerimaan pensijilan MSPO sebagai pematuhan diiktiraf bagi EUDR.

Penambahbaikan berkenaan akan memudahkan akses pasaran untuk minyak sawit bebas penebangan hutan Malaysia, katanya.

Sementara itu, MPOC berkata terus komited untuk meneruskan kerjasamanya dengan EU dan pihak berkepentingan global yang lain untuk memastikan pelaksanaan EUDR adalah adil dan praktikal, mengiktiraf amalan minyak sawit mampan Malaysia dan menyokong perdagangan.

-- BERNAMA