BERITA TERKINI   Kawalan sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan diperkukuh, tiada kompromi - Saifuddin Nasution | Ujian asas fardu ain sebagai syarat wajib kemasukan ke Giat MARA akan diperluaskan ke institusi MARA yang lain - TPM Zahid | Pengurangan tol adalah kesinambungan bantuan tol musim perayaan yang diberikan kerajaan bagi empat musim perayaan utama di Semenanjung sejak 2023 - Nanta | Pengurangan tol 50 peratus sempena Tahun Baharu Cina diberikan kepada semua kenderaan Kelas 1 (persendirian) di semua plaza tol kecuali di sempadan negara - Nanta | Kerajaan setuju beri potongan tol 50 peratus dari kadar tol biasa sempena Tahun Baharu Cina di semua lebuh raya pada 27 dan 28 Jan ini - Nanta | 

Pembangunan Kluster Industri Wilayah Tengah Cipta Lebih 10,000 Peluang Pekerjaan - MITI

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menjangkakan sebanyak 10,380 peluang pekerjaan bakal dicipta melalui Pembangunan Kluster Industri di Wilayah Tengah.

MITI dalam satu kenyataan berkata Pembangunan Kluster Industri di Wilayah Tengah itu bakal menyumbang kepada peningkatan beberapa ukuran makro ekonomi negara termasuk pencapaian kolektif Wilayah Tengah pada 2023 yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM754.2 bilion dan anggaran peningkatan tahunan bagi tempoh 2025-2030 kepada RM24.5 bilion.

Anggaran kasar peningkatan purata nilai pelaburan pada 2023 pula berjumlah RM7.57 billion bagi pencapaian kolektif Wilayah Tengah dan dijangka melonjak sebanyak RM12.5 bilion bagi tempoh 2025-2030. 

Terdahulu, Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Bil. 7/2024 dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 16 Oktober, bersetuju mengambil pendekatan Pembangunan Kluster Industri seiring dengan objektif Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Inisiatif itu akan bermula dengan pembangunan kluster industri di Wilayah Tengah merangkumi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka yang mencatatkan konsentrasi industri tinggi, terutamanya dalam sektor elektrik dan elektronik, aeroangkasa, farmaseutikal serta teknologi makanan.

Sementara itu dalam kenyataan sama, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata inisiatif strategik tersebut bertujuan memperkukuhkan Malaysia sebagai hab pelaburan, pembuatan dan perkhidmatan bagi beberapa sektor tumpuan.

Dalam hal ini, kerajaan bertekad membangunkan kluster industri bersasar bermula dengan Wilayah Tengah berdasarkan kekuatan sedia ada, katanya.

“Ini bermakna kita tidak perlu mewujudkan Pihak Berkuasa Koridor atau menambah bebanan kewangan baharu ke atas Kerajaan Persekutuan sekali gus menjimatkan kos pentadbiran dan peruntukan fiskal, pada masa sama kita dapat memanfaatkan insentif sedia ada,” katanya.

“Saya yakin dengan koordinasi rapat antara MITI, kementerian dan agensi lain serta kerajaan negeri, pendekatan kluster industri ini akan dapat menarik pelaburan tambahan, mencipta peluang pekerjaan baharu, meningkatkan ekonomi setempat serta menggalakkan pertumbuhan saksama dan inklusif,” kata Tengku Zafrul.

Model pembangunan kluster industri berprestasi tinggi itu telah dilaksanakan dengan jayanya di beberapa negara maju dan MITI akan memastikan usaha senegara serta penerapan amalan terbaik global sebagai tunjang utama dalam pelaksanaan inisiatif ini.

-- BERNAMA