BERITA TERKINI   98.8 peratus daripada sasaran 500,000 pembinaan rumah mampu milik dicapai dalam RMK12 - PM Anwar | RUU Pembaharuan Semula Bandar perlu dilaksanakan bagi bina kediaman lebih selesa untuk rakyat - PM Anwar | Kerajaan beri tumpuan kepada projek keutamaan seperti NSS dan JS-SEZ tanpa meminggirkan pembangunan di negeri lain dalam Kerangka Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 - PM Anwar | Kerajaan pastikan agihan adil kepada negeri untuk pembangunan dan kesalinghubungan digital - PM Anwar | Kerajaan MADANI ambil pendekatan adakan libat urus dengan kerajaan negeri bagi tentukan keutamaan projek pembangunan - PM Anwar | 

Capital A Cadang Kurangkan Modal Saham Terbitan Sehingga RM6 Bilion

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Capital A Bhd bercadang mengurangkan modal saham terbitannya sehingga RM6 bilion sebagai sebahagian daripada pelan regularisasi untuk keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17).

Capital A berkata pengurangan modal yang dicadangkan akan mengurangkan kerugian terkumpul syarikat “setakat yang mungkin dengan tujuan merasionalkan kunci kira-kira syarikat untuk mencerminkan dengan lebih tepat nilai aset asasnya dan seterusnya kedudukan kewangan syarikat.”

"Mengurangkan kerugian terkumpul syarikat juga akan memudahkan untuk meningkatkan kredibiliti kumpulan dengan bank, pelanggan, pembekal, pelabur dan pihak berkepentingan lain serta menyediakan platform yang lebih kukuh untuk pertumbuhan masa depan Capital A Group," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.

Selepas selesainya usaha korporat yang dicadangkan itu, syarikat berkenaan berkata ia tidak lagi perlu untuk menyatukan liabiliti bersih disatukan AirAsia Aviation Group Ltd (AAAGL) dan AirAsia Bhd (AAB), yang membolehkan Capital A berada dalam kedudukan kewangan yang lebih baik.

“Pelupusan keseluruhan ekuiti AAAGL dan AAB adalah selaras dengan hala tuju strategik syarikat untuk memberi tumpuan kepada aktiviti perniagaan yang dikenal pasti berdaya maju, menguntungkan dan/atau mempunyai potensi pertumbuhan iaitu Capital A Aviation Services, perkhidmatan logistik di bawah Teleport, perniagaan digital di bawah MOVE Digital serta syarikat jenama dan harta intelek di bawah Brand AA Sdn Bhd (Brand AA),” katanya.

Selepas selesai usaha korporat yang dicadangkan, kumpulan itu akan mempelbagaikan perniagaan secara strategik daripada menjadi salah satu syarikat penerbangan tambang rendah utama di Asia Tenggara kepada ekosistem terpelbagai bagi penerbangan dan perkhidmatan digital.

Peralihan itu dirancang untuk mendapatkan peluang melangkaui operasi syarikat penerbangan tradisional, secara langsung bertindak balas kepada permintaan pengguna yang berkembang dan kemajuan dalam teknologi.

RHB Investment Bank dilantik sebagai penasihat utama syarikat untuk cadangan pelan regularisasi berkenaan. Pelan regularisasi yang dicadangkan dijangka diserahkan selewat-lewatnya pada 31 Nov, 2024.

-- BERNAMA