Majlis Penasihat Perbadanan Labuan Gesa LPKP Tubuh Cawangan Labuan Bagi Perkasa Industri Pengangkutan, Logistik
Oleh Jailani Hasan
LABUAN, 29 April (Bernama) -- Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) digesa menubuhkan sebuah cawangannya di sini bagi mempermudah urusan syarikat pengangkutan dan logistik yang beroperasi di pulau berkenaan.
Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan Datuk Seri Patrick Tiong berkata ketiadaan pejabat LPKP di Labuan sudah lama menimbulkan kesukaran kepada penggiat industri dalam mengendalikan perkara berkaitan lesen kenderaan perdagangan.
Beliau berkata syarikat logistik dan pengangkutan kerap berurusan dengan pejabat LPKP di luar Labuan dan ia menyebabkan kelewatan yang tidak sepatutnya, kos tambahan dan kesulitan pentadbiran.
“Labuan menjadi Wilayah Persekutuan sejak 1984 dan kini berada di bawah pentadbiran kerajaan Persekutuan.
“Oleh itu, terdapat keperluan mendesak untuk LPKP mempunyai cawangannya sendiri di sini bagi menyokong sektor pengangkutan dan logistik tempatan,” kata Tiong kepada Bernama selepas menghadiri mesyuarat kedua Majlis Penasihat Perbadanan Labuan di sini hari ini.
Beliau berkata dasar yang mewajibkan sekurang-kurangnya 70 peratus pemilikan ekuiti oleh rakyat Sabah juga tidak sepatutnya terpakai kepada syarikat yang berpangkalan di Labuan memandangkan Labuan merupakan Wilayah Persekutuan dan harus dilayan mengikut status pentadbirannya yang tersendiri.
Tiong berkata tindakan untuk mengenakan syarat sedemikian ke atas Labuan boleh menjejaskan penyertaan syarikat tempatan dalam industri pengangkutan dan logistik terutamanya mereka yang terlibat dalam operasi kenderaan perdagangan, perkhidmatan berkaitan pelabuhan dan pergerakan kargo.
“Dasar berkenaan mungkin sesuai untuk Sabah tetapi status Labuan adalah berbeza. Labuan merupakan sebuah Wilayah Persekutuan dan keperluan kawal selia seharusnya mencerminkan kedudukan tersebut,” katanya.
Tiong yang juga merupakan Pengarah Urusan Megah Port Management Sdn Bhd berkata kehadiran cawangan LPKP juga akan menyokong peranan Labuan yang semakin berkembang sebagai hab logistik, minyak dan gas, pelabuhan serta pemunggahan.
Beliau berkata perkhidmatan pelesenan yang cekap amat penting bagi memastikan pergerakan barangan, kenderaan perdagangan dan aktiviti berkaitan pelabuhan yang lebih lancar terutamanya pada waktu Labuan terus memperkukuh kedudukan ekonominya.
Tiong juga berkata bahawa majlis penasihat telah meluluskan penyambungan kerja-kerja kutipan sampah di laut yang mana sebelum ini diuruskan oleh Perbadanan Labuan.
Beliau berkata perkhidmatan tersebut harus diteruskan di bawah pihak berkuasa tempatan bagi memastikan kebersihan perairan pulau itu terutamanya di kawasan sekitar bandar, pelabuhan, terminal feri dan tapak-tapak pelancongan.
“Kebersihan laut penting bukan sahaja untuk kesihatan awam dan perlindungan alam sekitar, malah untuk imej Labuan sebagai sebuah destinasi pulau,” kata Tiong.
Jelasnya, agensi-agensi berkaitan dan penggiat industri harus bekerjasama bagi memastikan Labuan bersedia dari segi kebersihan, kemudahan pelabuhan, pengendalian pelawat, tarikan tempatan, perkhidmatan pengangkutan dan sokongan pelancongan.
“Ketibaan kapal persiaran antarabangsa akan memberikan limpahan ekonomi kepada Labuan terutamanya bagi peniaga tempatan, pengusaha pengangkutan, penggiat pelancongan dan penyedia perkhidmatan.
“Kita mesti memastikan Labuan bersedia untuk menyambut ketibaan mereka dan meninggalkan kesan yang baik kepada para pelawat,” kata Tiong.
-- BERNAMA