BERITA TERKINI   Pengeluaran getah asli susut 24.1 peratus bulan ke bulan kepada 21,705 tan pada Februari 2026 daripada 28,579 tan pada Januari 2026, turunĀ 39.7 peratus tahun ke tahun daripada 36,005 tan pada Februari 2025 - Jabatan Perangkaan | PDRM perlu perhalusi cara kerja, penugasan anggota di stesen minyak di sempadan negara - Saifuddin Nasution | APMM gagalkan cubaan seludup keluar 20kg syabu bernilai RM1 juta ke negara jiran di pantai Batu Layar dekat Kota Tinggi 8 April lepas -- Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili | 

Kerajaan Disaran Perluas Sokongan Kepada Pelabur Tempatan Bagi Pacu Pertumbuhan Ekonomi

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Kerajaan digesa untuk mewujudkan persekitaran pelaburan yang lebih mesra bukan sahaja kepada pelabur asing malah pelabur tempatan dalam usaha meningkatkan daya saing Malaysia di pentas global.

Tan Hong Pin (PH-Bakri) berkata, dasar yang memudahkan peniagaan, mengurangkan birokrasi, proses permohonan kelulusan yang mudah dan cepat serta memastikan sokongan yang sewajarnya kepada pelabur tempatan adalah penting untuk memperkukuh ekonomi. 

“Sering kali pelabur asing diberikan lebih banyak insentif seperti pengecualian cukai untuk satu tempoh yang panjang, khidmat nasihat daripada agensi sepusat seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan sebagainya.

“Bagaimanapun pelabur tempatan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) masih berhadapan dengan berbagai kos pematuhan undang-undang yang tinggi, dengan kos-kos ini kadangkala menyumbang sehingga 30 peratus daripada perbelanjaan tahunan sesetengah PKS,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2025 di peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, sehubungan itu mencipta ekosistem pelaburan yang lebih seimbang membolehkan kerajaan berpeluang untuk memacu pertumbuhan ekonomi domestik dan menarik lebih ramai pelabur untuk melabur di dalam negara.

“Ia satu berita baik apabila Malaysia mencatatkan sebanyak RM160 bilion pelaburan diluluskan pada separuh pertama 2024 berbanding RM135.6 bilion bagi tempoh sama pada 2023.

“Ini bukan sahaja dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan malah membantu kerajaan dalam menangani isu hutang dan menjana hasil yang diperlukan untuk pembangunan negara,” katanya.

Tan turut memetik laporan Ease of Doing Business 2024, yang memaklumkan Malaysia jatuh dua anak tangga ke kedudukan 14 daripada 190 negara, menggambarkan cabaran dalam menarik pelaburan berbanding negara-negara lain.

Penurunan ini menunjukkan Malaysia perlu memperhebat usaha bagi mengekalkan daya tarikannya kepada pelabur antarabangsa, katanya.

-- BERNAMA

 

TAG: bahas, dewan rakyat, pelabur, PKS, ekonomi, parlimen

 


ZFB ZFB NSS