BERITA TERKINI   Rasuah adalah pengkhianatan terhadap amanah rakyat, tiada toleransi dalam pentadbiran negara - Agong | Agong zahir amaran ramai lagi dalam radar Seri Paduka Baginda untuk misi perangi rasuah | PDRM rampas vape, bahan cecair vape bernilai lebih RM8.8 juta dalam Op E-Cig Mega serentak di 13 negeri- Datuk Fisol   | Kementerian Komunikasi junjung titah Raja Permaisuri Agong mahu keselamatan kanak-kanak, remaja di alam maya diberi perhatian serius pihak berkuasa - Fahmi | 

MIDF Amanah Turunkan Unjuran Inflasi Kepada 2.0 Peratus Pada 2024

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- MIDF Amanah Investment Bank Bhd menyemak semula unjuran inflasi 2024 kepada 2.0 peratus daripada 2.3 peratus sebelum ini, dengan mengambil kira rasionalisasi subsidi petrol tidak dilaksanakan tahun ini.

Dalam kajian ekonomi bulanan yang dikeluarkan hari ini, firma penyelidikan itu menjangkakan inflasi akan kekal stabil dalam beberapa bulan akan datang, memandangkan subsidi RON95 yang disasarkan hanya dilaksanakan pada pertengahan 2025.

“Bagi suku ketiga 2024, inflasi keseluruhan kekal tidak berubah pada 1.9 peratus tahun ke tahun (y-o-y) (suku kedua 2024: +1.9 peratus y-o-y), dengan kenaikan harga diesel sekali sahaja memberikan tekanan menaik yang terhad pada indeks harga pengguna (IHP) keseluruhan.

“Secara keseluruhannya, inflasi IHP berpurata lebih rendah pada 1.8 peratus tahun ke tahun bagi sembilan bulan pertama 2024, berikutan inflasi makanan mereda pada 1.8 peratus tahun ke tahun yang mengimbangi inflasi yang lebih tinggi daripada komponen bukan makanan, yang juga berada pada tahap 1.8 peratus tahun ke tahun,” katanya.

Sehubungan itu, MIDF menjangkakan kadar dasar semalaman (OPR) akan kekal pada tiga peratus tahun ini, memandangkan inflasi yang stabil dan tiada tekanan permintaan yang ketara.

Firma penyelidikan itu juga menjangkakan kadar ini berterusan hingga tahun depan, memandangkan ia perkara biasa bagi Malaysia dan menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Terdahulu, Jabatan Perangkaan Malaysia mengumumkan kadar inflasi negara bagi September 2024 telah menurun kepada 1.8 peratus daripada 1.9 peratus pada Ogos, dengan mata indeks mencatatkan 133.2 berbanding 130.8 pada bulan yang sama tahun lepas.

-- BERNAMA