BERITA TERKINI   Pembangunan solar terapung hidro hibrid dan hab hidrogen hijau di Kenyir berpotensi tarik pelaburan serantau dan antarabangsa – PM Anwar | Pembangunan solar terapung hidro hibrid hab hidrogen hijau di Kenyir buka ruang anak tempatan terima pendidikan TVET oleh Petronas dan TNB - PM Anwar | Forest Research Institute Malaysia Forest Park Selangor (FRIM FPS) disenarai sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO - MOTAC | 

Gamuda JV Peroleh Projek Loji Janakuasa Di Sabah Bernilai RM3.05 Bilion

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Gamuda Bhd dalam usaha sama (JV) dengan Conlay Construction Sdn Bhd telah dilantik sebagai kontraktor pembangunan secara keseluruhan bagi loji janakuasa Hidroelektrik Ulu Padas di Sabah.

Gamuda dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata ia menerima surat penganugerahan daripada Upper Padas Power Sdn Bhd (UPPSB), Gamuda memegang 45 peratus kepentingan tidak langsung, melalui entiti JV, UPP Holdings Sdn Bhd.

Kontrak pembangunan itu akan dilaksanakan oleh JV tidak diperbadankan terdiri daripada Gamuda dan Conlay dengan masing-masing memperoleh kepentingan sebanyak 75 peratus dan 25 peratus.

“Jumlah nilai kontrak adalah RM3.05 bilion dengan tarikh operasi komersial dijadualkan pada atau sebelum 31 Disember, 2030,” kata Gamuda.

Skop kerja termasuk reka bentuk, pembinaan, ujian dan pentauliahan loji hidroelektrik 187.5 megawatt (MW) melibatkan empangan konkrit padat roller, janakuasa utama dan sekunder, sistem pengangkutan air, akses projek dan kemudahan kekal yang lain.

Ia juga termasuk limbung suis 275 kilovolt (kV), talian sub-transmisi 33kV, bengkel, kemudahan stor dan operasi, dan kawasan kediaman, kata syarikat itu.

Selepas siap kelak, projek itu akan membekalkan secara purata 1,052 gigawatt jam (GWj) tenaga bersih setahun, meningkatkan kapasiti tenaga boleh dipercayai Sabah sebanyak kira-kira 15 peratus dan menggandakan campuran tenaga boleh baharu (TBB) negeri tersebut.

Menurut syarikat itu, ia akan menyumbang ke arah matlamat Sabah untuk mencapai sekitar 35 peratus bahagian TBB dalam campuran penjanaannya menjelang 2035, katanya.

“Jumlah kontrak pembangunan dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan pendapatan Kumpulan Gamuda untuk tahun kewangan berakhir 31 Julai, 2025 dan seterusnya sehingga projek siap,” kata Gamuda.

-- BERNAMA