BERITA TERKINI   Kerajaan cadang gubal Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan sebagai kesinambungan kepada Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 dan pelengkap kepada Akta Tatacara Kewangan 1957 - PM Anwar | Kerajaan MADANI cipta sejarah menggubal Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang mengandungi penanda aras berkaitan pengurusan fiskal - PM Anwar | Kerangka Ekonomi MADANI serta RMK13 bukan sahaja untuk memperkukuh ekonomi, tetapi bagi menangani kebejatan yang membelit negara sejak sekian lama - PM Anwar | Pengintegrasian Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA oleh MAHB akan dipercepat- Loke | Saling bergantung antara negara berdaulat perlu dibina berasaskan prinsip pilihan, ketahanan, dan saling menghormati - PM Anwar | 

Ringgit Kekalkan Kedudukan Kukuh, Ditutup Tinggi Berbanding Dolar AS

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Ringgit terus berada di kedudukan lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan ditutup tinggi pada Selasa selepas mengalami penurunan baru-baru ini, apabila pasaran menjangkakan pengurangan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan AS (Fed), kata pakar ekonomi.

Pada pukul 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.3415/3505 berbanding dolar AS daripada 4.3715/3765 ketika ditutup semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Bank Negara Malaysia (BNM) secara umumnya dijangka mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sekali gus memberikan sokongan selanjutnya kepada ringgit.

“Akhirnya, jurang antara kedua-dua kadar (Fed dan BNM) akan menjadikan ringgit kelihatan lebih menarik buat masa ini,” katanya kepada Bernama.

Pasaran menjangkakan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Fed menerusi mesyuarat yang diadakan pada 6 dan 7 November ini mengurangkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas.

Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM juga dijadualkan pada tempoh yang hampir sama, 5 dan 6 November.

Sementara itu, Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata pasaran nampaknya bersiap sedia untuk menghadapi kebuntuan politik, mendorong pelabur mengurangkan pegangan -- keadaan ini lebih jelas berbanding USD/MYR yang terlebih beli.

“Sekiranya mengalami kebuntuan politik -- Presiden tanpa sokongan Kongres -- peringkat untuk perubahan dasar secara menyeluruh akan reda dengan ketara, terutama dalam dagangan pertukaran mata wang asing.

“Ini mungkin sebabnya kita melihat kenaikan ringgit hari ini. Jika Kongres mengalami kebuntuan, perubahan ekonomi secara berani mungkin tidak berlaku, memberi kelegaan kepada ringgit bagi jangka masa pendek,” katanya.

Beliau berkata dalam jangka masa pendek, hala tuju pergerakan ringgit akan banyak bergantung kepada keputusan pilihan raya AS, dengan esok mungkin menjadi hari yang penting.

Pada penutupan dagangan hari ini, ringgit mencatatkan prestasi tinggi berbanding beberapa mata wang utama.

Unit domestik naik berbanding pound British kepada 5.6361/6478 daripada 5.6707/6772 ketika ditutup semalam, dan tinggi berbanding yen Jepun kepada 2.8525/8586 daripada 2.8775/8810.

Mata wang tempatan meningkat berbanding euro kepada 4.7283/7381 daripada 4.7636/7691 semalam.

Ringgit juga lebih tinggi berbanding mata wang negara ASEAN.

Unit tempatan lebih kukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 275.6/276.3 daripada 277.5/277.9 semasa ditutup semalam, dan tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.2953/3023 daripada 3.3185/3226.

Ringgit lebih stabil berbanding baht Thailand kepada 12.9165/9491 daripada 12.9664/9882, dan lebih tinggi berbanding peso Filipina kepada 7.44/7.46 daripada 7.49/7.50 semalam.

-- BERNAMA