BERITA TERKINI   PM Anwar umum peruntukan RM2 juta untuk Kompleks Akademi Sepaktakraw Malaysia - PM Anwar | Rebat tiket penerbangan RM50 kepada rakyat Malaysia bagi laluan Semenanjung–Sabah, Sarawak dan Labuan sempena Gawai dan Kaamatan, dari 15 Mei-14 Jun -- Loke | Krisis Tenaga Global: CAAM lanjut tempoh kredit bayaran fi dan caj sehingga 60 hari berkuat kuasa 1 Mei bagi pelihara kemampanan operasi industri penerbangan -- Loke | Krisis tenaga global: ERL perkenal MyPutrajaya Monthly Travel Card khas untuk penjawat awam yang bekerja atau menetap di Putrajaya -- Loke | Krisis Tenaga Global: ERL perkenal MyKLIA Monthly Travel Card bagi rakyat Malaysia bekerja di KLIA Terminal 1 dan Terminal 2 -- Loke | 

Selesema Burung: F&N Berdepan Setahun Penangguhan Penghantaran Lembu Betina Dari AS

SHAH ALAM, 6 Nov (Bernama) -- Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) menjangkakan penangguhan penghantaran kumpulan lembu betina pertamanya dari Amerika Syarikat (AS) dalam tempoh enam bulan hingga satu tahun berikutan pembatalan penghantaran, akibat kebimbangan wabak selesema burung.

Syarikat itu pada mulanya merancang untuk memerah susu pertama daripada kumpulan lembu tersebut pada Januari 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif F&N Lim Yew Hoe berkata kumpulan lembu betina berkenaan dijadualkan berlepas dari Washington Port, AS pada 29 Okt, 2024 tetapi penghantaran tersebut dibatalkan selepas Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia (DVS) mengeluarkan surat penangguhan pada 24 Okt, 2024 disebabkan wabak itu.

Lim bagaimanapun meluahkan kekecewaan dan berkata F&N telah mengambil langkah-langkah pencegahan yang teliti bagi memastikan lembu-lembu berkenaan memenuhi piawaian seperti bebas penyakit, mengikut protokol ditetapkan antara DVS Malaysia dan Jabatan Pertanian AS serta Perkhidmatan Pemeriksaan Kesihatan Haiwan dan Tumbuhan (bagi pengimportan lembu).

"Adalah malang rancangan kami untuk menyokong keselamatan makanan negara, selaras dengan kerangka Malaysia MADANI tidak berjalan seperti yang dijangkakan. F&N kini sedang meneroka pelbagai pilihan.

"Sebagai langkah seterusnya, kami kini bekerjasama dengan pihak berkepentingan yang relevan untuk mendapatkan baka lembu betina berprestasi tinggi dari AS," katanya semasa memberikan taklimat keputusan kewangan penuh F&N bagi tahun kewangan 2024.

Apabila ditanya sama ada kelewatan itu akan memberi kesan kepada keuntungan syarikat, Lim berkata F&N mampu menguruskan situasi tersebut.

"Kami cukup kukuh untuk mengendalikan hal ini, tetapi aliran tunai akan terkesan kerana tiada pendapatan yang masuk," katanya.

Lim turut mengumumkan syarikat memperuntukkan sebanyak RM2 bilion untuk fasa pertama pembangunan ladang tenusu terintegrasi di Gemas, Negeri Sembilan dengan RM1 bilion lagi diperuntukkan untuk pembangunan fasa kedua.

Ladang tenusu terintegrasi itu disasarkan untuk menyumbang 200 juta liter susu segar setiap tahun kepada keselamatan makanan negara, disokong oleh sekumpulan 200,000 ekor lembu perah, kata Lim.

Mengenai rancangan kerajaan untuk menaikkan cukai eksais ke atas minuman bergula kepada 90 sen seliter tahun depan berbanding 50 sen, Lim berkata kenaikan 40 sen itu akan memberi impak yang minimum, dengan kos tambahan RM1.2 juta dalam bentuk cukai kepada syarikat.

"Kami mempunyai kira-kira satu peratus daripada keseluruhan produk minuman kami yang mengandungi lebih daripada lima gram gula setiap 100 mililiter (ml) dan merancang untuk merumus semula produk-produk tersebut bagi memastikan 100 peratus produk kami mengandungi kurang daripada lima gram gula setiap 100ml pada masa akan datang," katanya.

-- BERNAMA