BERITA TERKINI   Pengurangan tol adalah kesinambungan bantuan tol musim perayaan yang diberikan kerajaan bagi empat musim perayaan utama di Semenanjung sejak 2023 - Nanta | Pengurangan tol 50 peratus sempena Tahun Baharu Cina diberikan kepada semua kenderaan Kelas 1 (persendirian) di semua plaza tol kecuali di sempadan negara - Nanta | Kerajaan setuju beri potongan tol 50 peratus dari kadar tol biasa sempena Tahun Baharu Cina di semua lebuh raya pada 27 dan 28 Jan ini - Nanta | Himpunan Rakyat Benci Rasuah: Saya tidak mempunyai sebarang masalah -- PM Anwar | Rakyat mesti digerakkan untuk menguasai ilmu, kemahiran dan punya semangat untuk angkat martabat negara dan bangsa -- PM Anwar | 

Niaga Hadapan MSM Ditutup Tinggi

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi hampir RM5,200 satu tan bagi kontrak penanda aras Januari 2025, mencecah paras tertinggi sejak Jun 2022, kata seorang peniaga.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata peningkatan itu dipacu oleh laporan positif Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), menunjukkan paras stok yang rendah pada Oktober, pengeluaran yang lemah dan eksport yang kukuh, dan ini meningkatkan harga MSM. 

"Kami mengesan paras sokongan pada RM5,100 dan paras rintangan pada RM5,280 satu tan," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Penganalisis Kanan Fastmarket Palm Oil Analytics Sathia Varqa berkata niaga hadapan MSM memperoleh momentum belian pada separuh kedua hari ini, berikutan sesi pagi yang tidak stabil, dipacu oleh data MPOB.

Menurut data MPOB bagi Oktober 2024, pengeluaran MSM susut 1.35 peratus kepada 1.80 juta tan, stok MSM turun 10.57 peratus kepada 943,472 tan, manakala eksport minyak sawit naik 11.07 peratus kepada 1.73 juta tan.

Memetik laporan Intertek Testing Services, Sathia berkata eksport minyak sawit Malaysia bagi 1-10 Nov, 2024 susut sebanyak 80,507 tan, atau 15.79 peratus, kepada 429,455 tan berbanding 509,962 tan  yang dieksport dalam tempoh yang sama.

Pada penutup dagangan, kontrak bulan semerta November 2024 naik RM110 kepada RM5,270 satu tan, Disember 2024 menokok RM89 kepada RM5,233 satu tan, dan Januari 2025 naik RM95 kepada RM5,196 satu tan.

Kontrak Februari 2025 melonjak RM98 kepada RM5,137 satu tan, Mac 2025 menokok RM91 kepada RM5,029 satu tan dan April 2025 naik RM82 kepada RM4,903 satu tan.

Jumlah dagangan susut kepada 79,094 lot daripada 123,802 lot pada Jumaat, manakala kepentingan terbuka turun kepada 238,158 kontrak daripada 239,911 kontrak sebelum itu.

Harga MSM fizikal bagi November Selatan menokok RM120 kepada RM5,280 satu tan.

-- BERNAMA