BERITA TERKINI   Pelaksanaan SKDS fleet card untuk sektor pengangkutan darat barangan akan diperluas di Sabah, Sarawak dan Labuan - TPM Fadillah | Ops Tiris 4.0: 8,148 pemeriksaan, 60 kes diesel dengan rampasan lebih RM2.1 juta dari 16 Mac-5 April - TPM Fadillah | Weststar Aviation Services menyasar untuk menambah jumlah helikopter kepada 60 daripada 32 unit dalam tempoh dua tahun | Mesyuarat Kabinet putuskan pengaktifan Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan bagi banteras ketirisan, penyeludupan - TPM Fadillah | Krisis tenaga global: Pasukan Khas Ops Tiris 4.0 Bersepadu diwujudkan di Sarawak, Sabah dan Labuan - TPM Fadillah | 

Perubahan Dasar Perdagangan AS Dijangka Tidak Beri Impak Besar Kepada Sektor Minyak Sawit Negara

BANGI, 14 Nov (Bernama) -- Sebarang perubahan dalam dasar perdagangan Amerika Syarikat (AS) susulan kemenangan Donald Trump dalam pilihan raya presiden baru-baru ini dijangka tidak memberi impak yang besar terhadap sektor minyak sawit negara.  

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Datuk Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata masih terlalu awal untuk menentukan dasar baharu yang akan dilaksanakan Trump manakala perubahan tarif pula sentiasa berlaku dalam sektor minyak sawit. 

Beliau memberi contoh, misalnya India baru-baru ini telah menaikkan duti import sebanyak 20 peratus untuk produk makanan seperti minyak sawit yang masuk ke negara tersebut.

“Sekiranya ada peningkatan tarif dan sebagainya, ia lebih memberi kesan negatif terhadap negara mereka sendiri kerana minyak akan sentiasa digunakan dan tiada alternatif lain kecuali minyak keluaran sendiri seperti kacang soya,” katanya.

  “Minyak sawit yang masuk ke negara-negara seperti AS, ia lebih kepada kegunaan industri yang tidak boleh digantikan dengan minyak kacang soya. Sekiranya berlaku peningkatan tarif, minyak sawit tidak akan masuk ke sana, jadi peningkatan kos akan memberi kesan kepada rakyat mereka sendiri,” katanya.

Ahmad Parveez berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian pengkomersialan minyak transformer berasaskan sawit antara MPOB dan Glide Technology Sdn Bhd hari ini.

Terdahulu, beliau berkata penyelidikan MPOB dalam semua aspek sawit telah menghasilkan minyak transformer berasaskan sawit bagi kegunaan pencawang elektrik.

Menurutnya, selain mesra alam produk itu turut menepati spesifikasi yang ditetapkan oleh International Electrotechnical Commission serta mempunyai “flash point” dan “fire point” yang lebih baik berbanding minyak transformer berasaskan petroleum.

“Sehubungan itu, penggunaan minyak transformer berasaskan sawit berupaya mengurangkan risiko kebakaran di pencawang elektrik,” katanya.

Ahmad Parveez berkata MPOB bersama Glide Technology dengan sokongan TNB Research dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia telah menjalin kerjasama penilaian keupayaan teknikal minyak transformer berasaskan sawit bagi kegunaan rantaian pencawang elektrik di Malaysia

Beliau berkata minyak transformer itu turut didaftarkan dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia di bawah kategori cap dagangan dengan jenama ‘Minyak Transformer MPOB-Glide’.

-- BERNAMA