BERITA TERKINI   PM Anwar zahir simpati kepada lebih 50 mangsa terlibat dalam kejadian titi gantung runtuh di Lata Rek, Kuala Krai - PMO | PM Anwar arah peruntukan disediakan bagi ganti titi gantung di Lata Rek, Kuala Krai, Kelantan yang runtuh semalam - PMO | Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim dilantik Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian berkuat kuasa 1 Jan 2026 hingga 31 Dis 2028 - Azalina | Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian ditubuh bagi memandu hala tuju keselamatan dalam talian negara - Azalina | Pelabuhan Tanjung Pelepas catat peningkatan 14 peratus pengendalian kontena kepada 14.03 juta TEUs pada 2025, menjadi terminal kontena pertama di Malaysia lepasi paras 14 juta TEUs | 

Ringgit Dibuka Tinggi Berbanding Dolar AS

Oleh Rosemarie Khoo

KUALA LUMPUR, 15 Nov (Bernama) -- Ringgit diniagakan tinggi berbanding dolar AS pada sesi pembukaan hari ini walaupun Indeks Dolar AS (DXY) mengukuh, kata penganalisis.

Pada 8 pagi, mata wang tempatan diniagakan pada 4.4810/4885 berbanding dolar AS daripada 4.4840/4870 pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata DXY kekal di hadapan dengan Rizab Persekutuan (Fed) dijangka tidak menurunkan kadar faedah secara agresif manakala data ekonomi menyokong pandangan bahawa ekonomi AS masih kukuh.

“Kemungkinan untuk penurunan kadar faedah pada Disember telah berkurangan dengan ketara daripada 80 peratus kepada di bawah 60 peratus. Pasaran tidak menentu pada masa ini.

“Oleh itu, ringgit dijangka cenderung untuk bergerak ke arah penurunan bersama dengan mata wang negara utama dan sedang pesat membangun yang lain,” katanya kepada Bernama. 

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia merosot berbanding pound kepada 5.6761/6856 daripada 5.6750/6787 pada Khamis dan susut berbanding euro kepada 4.7180/7259 daripada 4.7172/7203, bagaimanapun naik berbanding yen Jepun kepada 2.8638/8688 daripada 2.8720/8741 semalam.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.62/7.64 daripada 7.63/7.63 dan tinggi berbanding rupiah Indonesia kepada 282.4/283.0 daripada 282.6/282.9 pada Khamis.

Mata wang tempatan rendah berbanding baht Thailand kepada 12.8003/8342 daripada 12.7706/7838 semalam dan kekal hampir tidak berubah berbanding dolar Singapura kepada 3.3284/3344 daripada 3.3284/3309 sebelum ini.

-- BERNAMA