BERITA TERKINI   Rasuah adalah pengkhianatan terhadap amanah rakyat, tiada toleransi dalam pentadbiran negara - Agong | Agong zahir amaran ramai lagi dalam radar Seri Paduka Baginda untuk misi perangi rasuah | PDRM rampas vape, bahan cecair vape bernilai lebih RM8.8 juta dalam Op E-Cig Mega serentak di 13 negeri- Datuk Fisol   | Kementerian Komunikasi junjung titah Raja Permaisuri Agong mahu keselamatan kanak-kanak, remaja di alam maya diberi perhatian serius pihak berkuasa - Fahmi | 

MNRB Lantik Rudy Rodzila Sebagai Presiden Sementara Dan CEO Kumpulan

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- MNRB Holdings Bhd melantik Datuk Rudy Rodzila Che Lamin sebagai Presiden Sementara dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan berkuat kuasa 23 Nov, 2024.

Kumpulan itu berkata Rudy Rodzila yang kini memegang jawatan Presiden dan CEO Takaful Ikhlas General Bhd, mengambil alih peranan tersebut susulan tamatnya tempoh perkhidmatan Zaharudin Daud sebagai Presiden dan CEO Kumpulan MNRB.

"Dengan lebih 30 tahun pengalaman yang merangkumi industri kewangan, perbankan dan insurans, Rudy Rodzila akan bekerjasama rapat dengan pasukan kepimpinan MNRB untuk terus memacu inisiatif strategik kumpulan," katanya dalam satu kenyataan.

Rudy Rodzila juga merupakan ahli bertauliah Association of International Accountants (United Kingdom) dan memegang Ijazah Sarjana Pengurusan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

MNRB berkata pelantikannya secara tidak langsung menunjukkan komitmen kumpulan untuk memupuk kepimpinan yang berkebolehan ketika beliau meneruskan misi kecemerlangan dalam sektor kewangan dan takaful.

Sementara itu, Pengerusi MNRB Datuk Johar Che Mat berkata pengalaman luas Rudy Rodzila dalam sektor takaful dan insurans, ditambah dengan perspektifnya yang luas, akan membolehkannya memimpin MNRB untuk melalui tempoh peralihan ini.

"Kami juga berterima kasih kepada Zaharudin di atas dedikasi dan sumbangannya yang turut membantu meletakkan MNRB di atas asas yang lebih kukuh untuk masa depan," katanya.

-- BERNAMA