BERITA TERKINI   Liga Super: Imigresen FC 0-1 Kuching City FC | Konflik Timur Tengah: Kerajaan akan cuba pertahankan harga minyak RON95 RM1.99 seliter - PM Anwar | PM Anwar rakam ucapan takziah atas pemergian Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei | Hina Islam: PDRM telah ambil tindakan, masyarakat dinasihat bersabar dan tidak gopoh - PM Anwar | PM Anwar akan bawa usul mengutuk serangan Israel-AS ke atas Iran di Parlimen esok | 

Niaga Hadapan KLCI Dijangka Catat Dagangan Kecil Minggu Depan

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka terus menyaksikan dagangan kecil dengan kecenderungan meningkat pada minggu depan.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata peniaga mengekalkan unjuran lebih berhati-hati dengan sokongan terhadap indeks petunjuk utama FBM KLCI pada paras 1,585 dan seterusnya pada 1,535.

“Kami tidak menjangkakan berlakunya peningkatan daripada paras itu...jika tidak, indeks akan terus dalam mod konsolidasi di sepanjang paras itu bagi tempoh singkat sementara menunggu pemangkin baharu.

“Oleh itu, kami mengunjurkan FBM KLCI akan bergerak dalam julat 1,585-1,610 pada minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Bagi minggu yang baru berakhir ini, kontrak November 2024 susut tujuh mata kepada 1,587.5, Disember 2024 menguncup lapan mata kepada 1,591.0, Mac 2025 turun 4.5 mata kepada 1,583.0 manakala Jun 2025 berkurangan lima mata kepada 1,591.0.

Jumlah dagangan meningkat kepada 33,554 lot daripada 27,800 lot dalam minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka susut kepada 37,221 kontrak daripada 38,788 kontrak.

Bagi asas Jumaat hingga Jumaat, FBM KLCI turun sebanyak 2.66 mata kepada 1,589.78 daripada 1,592.44 pada minggu lepas.

-- BERNAMA