BERITA TERKINI   Tiga warga Vietnam dipenjara 12 tahun dan denda RM128.9 juta atas 15 pertuduhan simpan bahagian hidupan liar tanpa permit sah | Bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid meninggal dunia tengah hari tadi | Inflasi Malaysia naik 1.6 peratus pada Januari 2026 dengan mata indeks meningkat kepada 135.7 daripada 133.6 pada bulan yang sama tahun sebelumnya - Jabatan Perangkaan | Semua kegiatan agama dan pembinaan rumah ibadat perlu ikut peraturan ditetapkan pihak berkuasa - PM Anwar | Puasa satu ujian keikhlasan, disiplin dan integriti - PM Anwar | 

AFA Sasar Pertumbuhan Tahunan Sehingga Tiga Peratus Dipacu Projek Infrastruktur Strategik

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- AFA Infrastructure and Development Sdn Bhd (AFA) menyasarkan pertumbuhan hasil tahunan sebanyak dua hingga tiga peratus, didorong oleh projek infrastruktur strategik dan struktur operasi disatukan yang bertujuan untuk meningkatkan rangkaian pengangkutan Malaysia.

Syarikat itu dijenamakan semula selepas pengambilalihan ANIH Bhd, yang bertanggungjawab menguruskan dua lebuh raya utama iaitu Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Pantai Timur Lebuhraya 1 (LPT1).

Pengerusi kumpulan AFA Tan Sri Azmil Khalili Khalid berkata penubuhan AFA menandakan langkah penting kerjasama dengan kerajaan untuk mengukuhkan infrastruktur dan daya tahan ekonomi Malaysia.

"Misi kami adalah untuk mewujudkan rangkaian pengangkutan yang bukan sahaja meningkatkan ketersambungan nasional tetapi juga meningkatkan komuniti tempatan dan memacu pembangunan mampan," katanya pada sidang media selepas pelancaran rasmi AFA sebagai identiti baharu di sini, hari ini.

Beliau berkata operasi AFA telah diperkemas kepada tiga bahagian, iaitu AFA PRIME Bhd yang menyelia konsesi lebuh raya, AFA Construction and Engineering Sdn Bhd yang memberi tumpuan kepada penyelenggaraan dan kejuruteraan, manakala AFA System and Services Sdn Bhd akan mengendalikan pengurusan tol.

Azmil berkata inisiatif utama AFA ialah Projek Pelebaran KL-Karak bernilai RM2.1 bilion, yang akan dimulakan pada Januari 2025 dan dijangka siap dalam tempoh 48 bulan serta Projek Tebatan Banjir RM200 juta untuk LPT1 yang dijadualkan siap menjelang Disember 2028.

Projek pelebaran KL-Karak melibatkan pembesaran bahagian utama lebuh raya bagi meningkatkan kecekapan perjalanan dan mengurangkan risiko kemalangan, manakala projek tebatan banjir memberi tumpuan kepada penambahbaikan sistem perparitan, meninggikan bahagian jalan yang mudah banjir, serta menstabilkan cerun dan benteng untuk memastikan tiada gangguan semasa hujan lebat, katanya.

“Kemampanan adalah satu lagi asas operasi AFA, seiring dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dan matlamat pelepasan sifar bersih Malaysia menjelang 2050. Usaha yang dijalankan termasuk memasang panel solar di kawasan rehat, menempatkan stesen pengecas kenderaan elektrik di sepanjang lebuh raya dan menggabungkan bahan binaan mesra alam untuk meminimumkan kesan alam sekitar," katanya.

Azmil berkata langkah ini bukan sahaja menangani keperluan segera infrastruktur tetapi meletakkan asas untuk rangkaian pengangkutan yang berdaya tahan dan cekap bagi memenuhi permintaan masa hadapan.

“Dengan menggabungkan inovasi dalam kejuruteraan dengan amalan mampan, kami menyasarkan untuk menetapkan penanda aras baharu bagi pembangunan infrastruktur yang akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia untuk generasi akan datang,” katanya.

-- BERNAMA