BERITA TERKINI   Malaysia komited mendukung pendekatan terbuka ASEAN yang berteraskan kepercayaan, keterangkuman dan manfaat bersama - Mohamad Hasan | Penyertaan Algeria dan Uruguay ke dalam TAC jadi pemangkin kerjasama lebih erat antara ASEAN dan kedua-dua rantau berkenaan - Mohamad Hasan  | Algeria dan Uruguay secara rasmi sertai TAC pada AMM ke-58 di Kuala Lumpur | Kadar siling dan lantai koridor OPR juga dikurangkan masing-masing kepada 3 peratus dan 2.5 peratus - BNM | Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia mengurangkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus | 

Mah Sing Beli Tanah Di Johor Bahru Bangunkan M Tiara 3 Dengan GDV RM463 Juta

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Mah Sing Group Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya, Loyal Sierra Development Sdn Bhd memeterai perjanjian jual beli dengan beberapa penjual untuk cadangan pengambilalihan tanah utama pegangan bebas di Pulai, Johor Bahru bernilai RM62.98 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata cadangan pembangunan di atas tanah itu yang berjumlah 23.9 hektar, dijangka mempunyai anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM463 juta.

Projek yang dinamakan M Tiara 3, perbandaran itu akan menawarkan rumah bersambung yang luas dengan harga rumah bermula daripada RM780,000.

“Pengambilalihan tanah untuk M Tiara 3 merupakan pembelian tanah kelima bagi kumpulan tahun ini. Ia juga merupakan pengambilalihan ketiga di Pulai selepas pengambilalihan 40.6 hektar tanah M Tiara 2 pada April 2024 dan 30.6 hektar tanah M Tiara pada Jun 2023,” katanya.

Dengan kedudukan M Tiara 3 yang strategik untuk mendapatkan permintaan daripada kesan limpahan M Tiara, pengambilalihan tanah berkenaan mewakili peluang strategik untuk mengembangkan lagi kehadiran kumpulan di Johor Bahru.

Mah Sing berkata M Tiara mencatatkan lebih 14,000 pendaftaran minat dan mencapai kadar pengambilan 100 peratus untuk lot antarabangsa dalam dua fasa pertamanya.

“Kumpulan optimis berhubung pasaran hartanah Johor Bahru, dipacu oleh perkembangan terkini seperti Sistem Transit Rapid Johor-Singapura dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, yang telah meningkatkan momentum pasaran dan potensi pertumbuhan,” tambahnya.

Projek itu tertakluk kepada keadaan pasaran dan kelulusan pihak-pihak berkuasa yang berkaitan. Ia dijangka dibangunkan dalam tempoh tiga hingga empat tahun dengan M Tiara 3 menyusul sebagai kesinambungan kepada M Tiara 2.

Penjual yang terbabit ialah Hau Enterprise Sdn Bhd (HESB), Chia Kim Heng, Chia Teck Heng, Low You Chone dan Wong Moi Yong.

-- BERNAMA