BERITA TERKINI   SPB Development Bhd peroleh kelulusan Suruhanjaya Sekuriti untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada Suku-2 tahun ini | Gabungan dewan perniagaan di negara ini diminta bekerja sebagai satu pasukan, tingkatkan kemajuan Malaysia - PM Anwar | Kerajaan pilih kadar caruman KWSP 2 peratus bagi pekerja asing berbanding 12 peratus yang dicadangkan sebelum ini - PM Anwar  | Titah Agong: Kerajaan MADANI akan pastikan agihan hasil ekonomi dimanfaat untuk pembangunan negara meliputi segenap lapisan masyarakat - PM Anwar | ACCCIM gesa kerajaan memperkenalkan skim kredit eksport dan mengurangkan duti import ke atas bahan mentah untuk membantu PKS menyesuaikan dengan dasar perdagangan baharu oleh ekonomi utama | 

Kerajaan Analisis Anggaran Hasil Tambahan Daripada Pengenalan Cukai Dividen - Lim Hui Ying

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Bernama) -- Kerajaan dalam proses menganalisis anggaran hasil tambahan yang boleh dikutip daripada pengenalan cukai dividen sebanyak dua peratus, kata Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying.

Beliau berkata anggaran tambahan hasil yang telah dimuktamadkan akan diumumkan berdasarkan keperluan.

“Proses penyediaan anggaran ini mengambil masa kerana terdapat keperluan kepada Kementerian Kewangan untuk mengumpulkan data-data pembayaran dividen daripada pelbagai sumber,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang (RUU) Kewangan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Cukai pengenalan dua peratus telah diperkenalkan ke atas pemegang saham dengan dividen tahunan lebih RM100,000 dalam Belanjawan 2025.

Lim berkata cukai yang akan dikenakan pada kadar dua peratus ini adalah rendah berbanding negara lain yang juga mengenakan cukai ke atas pendapatan pelaburan seperti di United Kingdom iaitu sebanyak 39.35 peratus.

Dalam pada itu, Lim berkata pelaksanaan cukai dividen dijangka tidak memberi impak besar kepada pasaran saham dan tidak menjejaskan transaksi pelaburan di Malaysia.

“Sejak pengumuman, tiada reaksi ketara dari segi pergerakan atau prestasi Bursa Malaysia yang mencadangkan sebarang kehilangan minat pelabur.

“Pelaksanaan cukai dividen juga dijangka tidak mengakibatkan pemindahan dana pelaburan yg signifikan ke luar negara,” katanya.

Dewan Rakyat telah meluluskan RUU Kewangan 2024 dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan kali ketiga dikemukakan timbalan menteri.

RUU berkenaan antara lain melibatkan pengenaan cukai dividen, penambahbaikan ke atas cukai keuntungan modal dan cukai minimum global, semakan semula dan lanjutan tempoh pelepasan cukai bagi individu.

Selain itu, RUU berkenaan bagi menambah baik penetapan mekanisme selaras pelaksanaan Sistem Taksir Sendiri Cukai Keuntungan Harta Tanah dan semakan semula kadar duti setem.

-- BERNAMA